Abidin (kanan) bersama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (kiri) dan Datuk Ruslan Muharam semasa persidangan DUN Sabah.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bersama-sama agensi keselamatan Persekutuan sentiasa mengambil berat akan isu-isu berhubung keselamatan dan kedaulatan negara di kawasan sempadan termasuk di Laut China Selatan dalam perairan Wilayah Sabah.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, ancaman di perairan Laut China Selatan adalah isu yang kompleks dan sensitif.
Beliau berkata, ianya perlu dikendalikan dan diselaraskan dengan hubungan diplomatik antarabangsa secara aman dan rasional bagi mengelakkan berlakunya ketegangan di lapangan, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara sejagat, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
“Dalam hal ini, kepentingan negara dari aspek keselamatan dan kedaulatan akan terus dijadikan sebagai asas utama dalam sebarang tindakan yang diambil terhadap isu ancaman di Laut China Selatan.
“Kerajaan Negeri memantau rapat sebarang perkembangan dan situasi semasa di kawasan tersebut yang melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan sama ada di peringkat Persekutuan, mahupun peringkat negeri bagi memastikan isu tersebut ditangani dengan segera dan efisien tanpa menimbulkan sebarang ketegangan di lapangan.
“Sebarang situasi yang berlaku di kawasan Laut China Selatan mampu memberikan implikasi, sama ada secara langsung atau secara tidak langsung kepada keselamatan dan juga ekonomi negara selain mampu menggugat kedaulatan negara,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.
Beliau menjawab soalan lisan daripada Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang) yang bertanya apakah usaha penyelarasan antara Sabah dan pihak berkuasa Persekutuan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Laut untuk menjaga sempadan maritim Sabah kerana berdepan dengan ancaman di Laut China Selatan.
Abidin berkata, Kerajaan Negeri bersama Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (MKN, JPM) selaku agensi peneraju keselamatan negara sentiasa proaktif menyelaras pelaksanaan operasi-operasi maritim melalui platform-platform seperti Jawatankuasa Bertindak Operasi Maritim (JBOM) dan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN).
Katanya, pelaksanaan operasi-operasi maritim di Laut China Selatan dilaksanakan secara pendekatan whole-of-government.
“Ini bagi memastikan segala strategi dan tindakan Kerajaan di kawasan tersebut adalah secara bersepadu dan mengoptimumkan penggunaan sumber dan aset sedia ada yang dimiliki oleh Kerajaan.”
Beliau berkata, di lapangan, agensi-agensi keselamatan iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa komited meneruskan operasi strategik di kawasan sensitif di Laut China Selatan dengan mempamerkan kehadiran (show of presence) aset udara dan maritim negara.
“Pelaksanaan rondaan berkala dan operasi oleh Pasukan Agensi Keselamatan Negara bertujuan bagi memastikan keselamatan aktiviti-aktiviti ekonomi negara seperti aktiviti eksplorasi dan eksploitasi hidrokarbon di kawasan tersebut sentiasa terpelihara sepanjang masa di samping mempertahankan kedaulatan negara.
“Beberapa kolaborasi kerjasama agensi negeri dan persekutuan melalui operasi bersepadu yang juga melibatkan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS), Jabatan Perikanan Sabah, Jabatan Laut Malaysia serta Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah turut dilaksanakan dan diperkukuhkan setiap tahun.
“Selain itu, Kementerian Luar Negeri (KLN) juga dengan kerjasama Kerajaan Negeri aktif dalam mengemukakan bantahan kepada mana-mana negara yang didapati menceroboh kawasan perairan Malaysia.”
































