Angkasawan NASA, Butch Wilmore dan Suni Williams di dalam ruang depan modul Harmony Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
FLORIDA: Angkasawan yang terkandas di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) mencetuskan kebimbangan mengenai penurunan berat badan selepas mereka hanya bertahan dengan sup dibuat daripada air kencing yang dikitar semula.
Menurut Utusan Malaysia, Butch Wilmore, 61, dan Sunita Williams, 59, sepatutnya menghabiskan lapan hari di angkasa apabila mereka berlepas pada Jun lalu.
Bagaimanapun, kedua-duanya terkandas apabila kapal Boeing Starliner yang sepatutnya membawa mereka kembali ke Bumi mengalami kerosakan dan kebocoran helium.
Wilmore dan Williams terpaksa tinggal di stesen angkasa sehingga Februari tahun depan, apabila kapal SpaceX Dragon berlepas untuk membawa pulang mereka.
Penginapan tambahan yang tidak dirancang itu menyebabkan kedua-dua mereka mula kekurangan bekalan makanan.
Pada mulanya, mereka menikmati buah-buahan segar, sayur-sayuran, pizza, ayam panggang dan koktel udang.
Namun kini, mereka kebanyakannya makan bijirin sarapan dengan susu serbuk dan sup kering yang dibuat dengan air dari tangki 530 gelen di stesen tersebut.
ISS mengitar semula air kencing dan peluh angkasawan menjadi air bersih untuk meminimumkan pembaziran.
Pemakanan pasangan angkasawan ini dipantau dengan teliti oleh doktor NASA untuk memastikan mereka mengambil kalori mencukupi bagi kekal sihat sepanjang misi yang dilanjutkan.
Namun, kedua-dua mereka kelihatan semakin hilang berat badan secara mendadak.
Williams berkata, penampilannya yang kurus – mengejutkan beberapa pemerhati misi – disebabkan oleh kesan mikrograviti semasa tinggal lama di angkasa, bukan akibat dietnya.
Beliau mengekalkan berat badan melalui rejimen senaman ketat dan pemakanan yang betul.
ISS menyimpan sekitar 3.8 paun makanan setiap hari bagi setiap angkasawan dengan simpanan untuk menampung lanjutan penginapan tidak dijangka.
Sistem ini direka untuk memastikan angkasawan mempunyai nutrisi dan kepelbagaian makanan bagi menyokong misi panjang di angkasa.
Angkasawan menyediakan makanan mereka sendiri menggunakan dulang magnet yang dilengkapi peralatan logam untuk mengelakkan barang terapung dalam mikrograviti.
Pakar NASA berkata, angkasawan dijaga dengan baik walaupun menghadapi cabaran.
































