KUALA LUMPUR: Pelakon, Sophia Albarakbah, mengakui tidak pernah dibuli oleh mana-mana pelakon senior sepanjang penglibatannya dalam industri lakonan.
Menurut Utusan Malaysia, Sophia berkata, dia bernasib baik dapat bekerjasama dengan barisan pelakon senior yang tidak lokek ilmu dan melayannya dengan baik.
“Sepanjang saya berlakon, saya tidak pernah melalui insiden buli seperti yang dikatakan pelakon baharu itu. Setakat ini, kebanyakan pelakon senior tidak lokek memberikan tunjuk ajar,” katanya.
Genap enam tahun bergelar pelakon, Sophia juga positif rata-rata pelakon senior tiada masa mahu merosakkan tumpuan mereka dengan membuli pelakon muda sepanjang di lokasi penggambaran.
Kata Sophia, pelakon baharu boleh menimba banyak ilmu dengan mereka selain menunjukkan rasa hormat terhadap pelakon senior.
“Saya tak rasa pelakon senior akan membuli, mereka pun tidak mahu tumpuan terganggu hingga menjejaskan penggambaran. Mungkin ada suka mengusik dan bergurau, tapi janganlah cepat terasa.
“Pelakon senior banyak pengalaman, jadi banyak ilmu boleh dikutip daripada mereka. Sebenarnya kita kena belajar hormatkan pelakon senior, itu sahaja. Jadi, tidaklah isu buli dan sebagainya,” jelasnya.
Sophia mengulas perkara tersebut bagi menepis dakwaan seorang pelakon baharu, Alif Muhaimin yang memaklumkan wujudnya budaya buli dalam kalangan pelakon senior ketika di lokasi penggambaran.
Dalam pada itu, pelakon From Saga With Love itu berpendapat setiap pelakon baharu perlu pandai membawa diri dan tunjukkan rasa hormat agar dilayan baik oleh pelakon senior.
“Sebagai pelakon junior, kita kenalah mulakan dulu. Awal dulu, saya juga ada rasa takut nak jejak kaki ke lokasi. Saya risau memikirkan layanan pelakon senior, adakah mereka sombong dan sebagainya.
“Tapi bila saya mulakan langkah dengan menegur, ternyata mereka mudah didekati dan langsung tak sombong. Sebagai orang baharu, kenalah tunjukkan rasa hormat kalau nak dilayan dengan baik,” katanya.