Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah
mengeluarkan 26 Lesen Mencarigali (Prospecting License – PL) selaras dengan Seksyen 6 Ordinan Perlombongan Sabah 1960 untuk tempoh dua tahun, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Daripada 26 PL tersebut, katanya, dua PL telah ditarik balik sendiri oleh pemegang lesen, satu PL telah dibatalkan dan empat PL telah luput tempoh dan atas beberapa sebab seperti tiada kemajuan eksplorasi yang signifikan dalam tempoh dua tahun oleh pemegang lesen, ada yang tidak mendapat persetujuan daripada pemegang SFMLA dan kebenaran daripada Jabatan Perhutanan untuk memasuki kawasan tersebut dan selebihnya berada dalam Totally Protected Area (TPA) berada dalam
kawasan tadahan air sensitif.
Manakala, 19 PL masih berkuat kuasa.
“PL ini hanyalah bertujuan untuk mencari gali sama ada terdapat jumlah mineral yang ekonomik untuk dilombong.
“Sebarang permohonan untuk Mining Lease untuk operasi perlombongan hanya akan diputuskan setelah dibuktikan terdapat mineral yang bernilai untuk dibangunkan hasil daripada dapatan daripada kerja-kerja Prospecting License.
“Kepentingan Kerajaan Negeri akan dibincangkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum Mining Lease dikeluarkan,” katanya semasa menggulung untuk Jabatan Ketua Menteri (JKM) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.
Menjawab isu dibangkitkan oleh Sarifuddin Hata (Merotai) berkenaan tatakelola pengurusan mineral dan cadangannya untuk menyerahkan pengurusan mineral kepada syarikat milik kerajaan seperti Yayasan Sabah, Hajiji menjelaskan bahawa Sabah Mineral Management Sdn. Bhd. (SMM) adalah merupakan syarikat milik penuh Kerajaan Negeri.
Katanya, SMM ditubuhkan untuk menguruskan sektor mineral adalah merupakan langkah strategik bagi memastikan pengurusan sumber mineral dijalankan dengan lebih tersusun, fokus dan berkesan, bagi memaksimumkan potensi dan sumber baharu pendapatan kepada Kerajaan Negeri.
Mengenai isu yang hangat diperkatakan mengenai pengurusan mineral, Hajiji berkata, laporan berkaitan perkara tersebut telah pun diserahkan oleh pihak SMM kepada pihak berwajib.
“Kerajaan Negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat sebarang unsur salah laku atau penyalahgunaan kuasa.
“Bagi maklumat yang terperinci, saya tidak dapat mengulas dengan lebih lanjut kerana kes ini sedang dalam siasatan oleh pihak yang berwajib dan sebarang kenyataan boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan,” jelasnya.
Beliau memberi jaminan bahawa pengurusan pentadbiran baharu SMM adalah teratur dan mengikut tadbir urus yang baik (good governance).
“Semua pertimbangan dan kelulusan diputuskan melalui Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.”
Menjawab isu yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang), Ketua Menteri berkata, emas yang ditahan di Lapangan Terbang Tawau pada 6 Februari 2024 telah dikembalikan kepada syarikat operator lombong kerana tiada pelanggaran di bawah undang-undang Jabatan Kastam Diraja Malaysia.


































