Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menutup Sabah International Petroleum (SIP) kerana ia kini bebas daripada hutang dan telah menjadi anak syarikat SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE).
Beliau berkata, SIP bebas hutang hasil daripada proses penstrukturan semula oleh SMJE yang melibatkan pengumpulan dana sebanyak RM900 juta melalui Sukuk Wakalah.
“Oleh itu, SIP tidak lagi menjadi beban kepada Kerajaan dan kini menjana aliran tunai positif serta stabil daripada operasinya,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan lisan
Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Lamag). Mohd. Shafie bertanya adakah Kerajaan bercadang untuk menutup SIP memandangkan SMJE sudah diwujudkan dan SIP menjadi beban kepada Kerajaan, manakala Bung Moktar bertanya apakah perkembangan kewangan SIP selepas diambilalih oleh SMJE melalui sukuk wakalah dari segi kedudukan kewangan, pengstrukturan pengurusan dan model perniagaannya, dan apakah status Sukuk Wakalah Pelbagai Mata Wang yang mempunyai had terbitan RM10 bilion dari segi jumlah langganan sehingga kini dan apakah penggunaan dana tersebut.
Masidi menjelaskan, walaupun program Sukuk Wakalah telah terlebih langgan sebanyak 3.9 kali, SMJE buat masa ini tidak merancang untuk menggunakan baki RM10 bilion daripada sukuk tersebut.
“SMJE telah memperoleh portfolio yang seimbang dan mampu menggunakan dana yang dijana sendiri untuk membiayai operasi semasanya,” katanya.
































