Dr. Jeffrey (tengah) berbual dengan Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (kiri) dan ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick sebelum bermulanya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk mewujudkan zon untuk penternakan lembu di Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.
Katanya, ini disebabkan hampir semua kawasan di Sabah adalah sesuai untuk ternakan lembu, dan Sabah adalah satu-satunya negeri di rantau ini bukan sahaja di Malaysia yang bebas daripada penyakit Foot and Mouth Disease.
“Walau bagaimanapun, sekiranya ada keperluan di masa yang akan datang, Kerajaan akan mempertimbangkan pewujudan zon ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Dr. Jeffrey menjawab soalan lisan daripada Datuk Dr. Aliakbar Gulasan (ADUN Dilantik) yang bertanya adakah Kerajaan bercadang untuk mewujudkan zon khas untuk penternakan lembu di Sabah.

































