LOS ANGELES: Empat penduduk di kawasan Los Angeles ditahan dan didakwa atas tuduhan penipuan insurans selepas dipercayai menggunakan kostum beruang untuk menunjukkan seolah-olah kenderaan mewah mereka rosak akibat serangan haiwan liar.
Menurut Utusan Malaysia, kegiatan yang diberi gelaran ‘Operasi Bear Claw’ oleh pihak berkuasa California, bermula pada Januari lalu apabila suspek mendakwa seekor beruang memasuki kenderaan Rolls Royce Ghost 2010 yang diparkir di Lake Arrowhead dan menyebabkan kerosakan serius pada bahagian dalamnya.
Namun, video yang dirakamkan oleh suspek sendiri menimbulkan keraguan kerana video tersebut menunjukkan seekor haiwan berbulu memasuki tempat duduk belakang Rolls Royce dan mencakar bahagian dalaman, tetapi beberapa elemen kelihatan mencurigakan.
Menurut Jabatan Perikanan dan Hidupan Liar California, satu-satunya spesies beruang di negeri itu ialah beruang hitam, tetapi haiwan dalam video berwarna coklat muda.
Lebih meragukan, pergerakan haiwan itu tidak menyerupai beruang sebenar sebelum akhirnya penipuan yang dilakukan terbongkar oleh pihak polis California.
“Selepas diteliti, siasatan mendapati ‘beruang’ dalam rakaman tersebut sebenarnya adalah seorang individu yang sekadar memakai kostum,” kata pihak polis kepada NPR.
Pakar biologi dari Jabatan Perikanan dan Hidupan Liar California juga mengesahkan rakaman tersebut jelas menunjukkan manusia dalam kostum.
Suspek turut dikesan membuat dua lagi tuntutan insurans dengan dakwaan serangan beruang melibatkan kenderaan mewah lain iaitu Mercedes G63 AMG 2015 dan Mercedes E350 2022.
Polis California kemudiannya menyerbu kediaman keempat-empat suspek dan menemukan kostum beruang lengkap dengan kepala berbulu, tapak tangan palsu, serta alat logam berbentuk cakar yang digunakan untuk mencalarkan kenderaan.
Kes ini sedang dalam proses semakan, tetapi jika didapati bersalah, keempat-empat suspek berdepan hukuman penjara atas kesalahan menipu syarikat insurans dengan nilai tuntutan hampir $142,000 (RM 634).


































