DALLAS: Sebuah penerbangan Southwest Airlines membawa 99 penumpang dan anak kapal terkena tembakan ketika sedang bersedia untuk berlepas di Lapangan Terbang Dallas Love Field di Texas, lapor pihak berkuasa.
Menurut Utusan Malaysia, jurucakap syarikat itu, penerbangan 2494 sedang bersiap sedia untuk berlepas ke Indianapolis apabila peluru mengenai bahagian kanan pesawat di bawah dek penerbangan.
“Tiada kecederaan dilaporkan dan pesawat itu kembali ke pintu masuk dan penumpang diturunkan,” katanya kepada CBS News.
Landasan lapangan terbang domestik itu ditutup sementara waktu tetapi dilaporkan sudah dibuka semula.
Polis Dallas kini mengetuai siasatan ke atas insiden mengejutkan itu.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, peluru itu terkena berhampiran kokpit pesawat Boeing 737-800 Max.
Tiada butiran secara rasmi dikeluarkan mengenai keadaan sekitar kejadian itu, tetapi stesen TV tempatan WFAA melaporkan polis percaya peluru itu adalah akibat tembakan rambang.
Awal minggu ini, tiga pesawat yang mendarat atau berlepas dari lapangan terbang utama di Port-au-Prince, ibu kota Haiti, terkena tembakan ketika keganasan kumpulan memusnahkan negara Caribbean itu.
Insiden itu mendorong Pentadbiran Penerbangan Persekutuan mengeluarkan larangan 30 hari ke atas syarikat penerbangan AS yang terbang ke Haiti.


































