KOTA KINABALU: Sabah hampir mencapai sasaran tiga juta pelawat bagi tahun 2024 yang mana setakat bulan Ogos, seramai 2.09 juta kedatangan pelancong telah direkodkan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ini merupakan peningkatan sebanyak 25.7 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2023 dengan perbelanjaan pelancongan dianggarkan berjumlah RM4.88 bilion.
Menurut beliau, peningkatan ini didorong oleh penambahan jumlah penerbangan ke negeri Sabah dari destinasi dalam dan luar negara.
Katanya, sehingga ke hari ini, sebanyak 12 syarikat penerbangan yang menghubungkan Sabah secara terus ke 19 destinasi antarabangsa dan menawarkan 140 penerbangan seminggu dengan 25,613 kapasiti tempat duduk.
Antara laluan udara antarabangsa baharu yang membantu meningkatkan akses ke Sabah adalah dari Jakarta, Shanghai, Guangzhou, Bali, Manado dan Kunming.
“Selain itu, kolaborasi bersama syarikat-syarikat penerbangan dalam dan luar negara selaku rakan strategik bagi menambah akses laluan udara menjadi antara agenda utama Kerajaan untuk memangkin pertumbuhan industri pelancongan negeri memandangkan 90 peratus kemasukan pelancong ke negeri ini adalah melalui udara.
“Inisiatif ini juga adalah selari dengan komitmen Kerajaan bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menyasarkan 3.7 juta ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa ke Sabah dengan perbelanjaan pelancongan berjumlah RM9.1 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin.
Masidi berkata, Kerajaan Negeri akan mempergiat usaha untuk menambah baik pengurusan alam sekitar dan pemeliharaan warisan budaya untuk terus memacu dan memperkasa industri pelancongan di negeri ini.
“Oleh itu, bagi menyokong kepada usaha-usaha tersebut, Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM102.87 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar untuk tujuan operasi dan pelaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan.
“Daripada jumlah tersebut, RM10.84 juta adalah bertujuan untuk pembangunan aset-aset pelancongan termasuk RM6.5 juta untuk Projek Pembangunan Pelancongan Luar Bandar yang memfokuskan kepada ekopelancongan serta pelancongan berasaskan komuniti.”
Sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026, pelbagai program akan dilaksanakan pada tahun hadapan termasuklah memberi latihan upskilling dan reskilling kepada pengusaha luar bandar agar berupaya menyediakan perkhidmatan yang berkualiti.
Kata Masidi, selaras dengan matlamat pembangunan modal insan yang menjadi salah satu tonggak utama belanjawan.
“Selain itu, bantuan dari aspek promosi serta pemasaran juga akan diperhebatkan lagi dengan pelbagai kempen dan acara-acara ‘signature’ kepada negeri Sabah. Ini bukan sahaja akan menarik pelancong, tetapi juga memberi peluang kepada komuniti tempatan untuk terlibat dan menikmati manfaat daripada industri pelancongan.”
Masidi berkata, sebanyak RM19.8 juta diperuntukkan kepada Jabatan Muzium Sabah untuk perbelanjaan operasi dan penaiktarafan infrastruktur warisan khazanah untuk tujuan pelancongan.
Di samping itu, sebanyak RM13.66 juta diperuntukkan bagi memastikan warisan budaya dan kesenian di negeri ini terus kekal dan terpelihara.
“Bagi memastikan khazanah budaya ini dapat dinikmati generasi masa ini dan dalam masa yang sama dapat merancakkan lagi Sektor Pelancongan tempatan, maka pelbagai program kebudayaan antaranya Museum Festival 2025, Kraf Eksotika dan Pesta Regatta Lepa akan disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri pada tahun hadapan.
“Pendekatan ini dapat meningkatkan daya saing pelancongan berasaskan komuniti, iaitu satu kaedah efektif untuk mengagihkan hasil pendapatan industri ini secara lebih inklusif dan saksama,” ujarnya.


































