KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan mempergiat lagi usaha untuk memajukan Sektor Pertanian dengan peruntukan sebanyak RM610.85 juta tahun depan, bagi memastikan keterjaminan makanan untuk rakyat Sabah.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ancaman geopolitik serantau, perubahan iklim global dan situasi ekonomi dunia yang tidak menentu merupakan senario mutakhir yang menuntut agar memberi lebih tumpuan kepada Sektor Pertanian.
Katanya, pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri mengagihkan sebanyak RM521.37 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan serta jabatan di bawahnya.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM373.24 juta adalah untuk perbelanjaan operasi dan membiayai pelbagai program bantuan kepada para petani, nelayan dan penternak.
“Secara keseluruhan, matlamatnya adalah untuk memperkasa empat sub sektor utama iaitu tanaman; ternakan; perikanan dan akuakultur; serta komoditi getah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Sabah hari ini.
Masidi berkata, Jabatan Pertanian yang diperuntukkan sebanyak RM138.49 juta akan memberi tumpuan terhadap program dan aktiviti yang menjurus kepada keperluan Dasar Keterjaminan Makanan dan Dasar Pertanian Negeri Sabah Ke-3 untuk memastikan rantaian bekalan makanan yang mencukupi, mengurangkan kebergantungan import makanan, menjamin kesejahteraan rakyat dan menghadapi cabaran global.
Katanya, selaras dengan tonggak kedua Belanjawan ini iaitu pembangunan inklusif dan saksama, komuniti pesawah dan pekebun kecil turut diberi perhatian khusus.
Pemberian Insentif Pembajakan Sawah Padi akan diteruskan dengan kenaikan daripada RM18 juta kepada RM26 juta.
Insentif subsidi pada kadar RM494.00 sehektar telah memberi manfaat kepada seramai 22,500 pesawah setiap tahun.
“Selain itu, melalui pemulihan sawah padi terbiar seluas 438 hektar di daerah Papar, Tuaran dan Sook akan menghasilkan purata pengeluaran padi sebanyak 2,190 tan metrik padi semusim penanaman.
“Projek ini dijangka dapat membekalkan keperluan beras untuk seramai 15,330 penduduk negeri Sabah semusim berdasarkan penggunaan beras sebanyak 90 kilogram seorang setahun,” jelasnya.
Di samping itu, pelaksanaan Program Pembangunan Tanaman berorientasikan komersial juga telah memberikan manfaat kepada 2,266 peserta dengan keluasan 3,539 hektar.
Masidi berkata, ini akan mewujudkan sumber pendapatan sekurang-kurangnya RM4,000.00 sebulan bagi memastikan peserta berada di luar garis kemiskinan.
“Tahap Sara Diri (SSL) negeri yang rendah bagi bekalan beras iaitu pada kadar 22.6 peratus menyebabkan kebergantungan yang tinggi terhadap bekalan beras sumber import bagi memenuhi permintaan tersebut.
“Justeru itu, penubuhan semula Lembaga Padi dan Beras Negeri Sabah (LPBN) dijangka akan meningkatkan SSL makanan khususnya beras bagi memenuhi permintaan rakyat dan seterusnya dapat mengurangkan import beras.
“Sebagai permulaan, sebanyak RM32.5 juta diperuntukkan kepada LPBN untuk tujuan operasi dan pembelian 60 unit jentera serta menaik taraf sistem pengairan di enam daerah pengeluar utama padi Sabah. Intervensi ini dijangka akan dapat meningkatkan pengeluaran padi untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus SSL beras tempatan pada tahun 2026.”
Kejayaan pewujudan 14 buah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) berkeluasan 503.26 hektar melibatkan 117 peserta dengan jumlah pengeluaran hasil tanaman buah-buahan, sayur-sayuran dan nenas MD2 mencecah 987.36 per tan metrik setahun yang bernilai RM2.9 juta telah menyumbang kepada keperluan permintaan makanan domestik dan memangkin pertumbuhan ekonomi negeri.
Justeru itu, kata Masidi, sebanyak RM2.96 juta diperuntukkan untuk pengurusan TKPM pada tahun hadapan.
“Di samping itu, sebanyak 514 ladang telah diakreditasikan melalui Persijilan Malaysia Good Agricultural Practice (MyGAP) dan 30 ladang melalui pensijilan myOrganic akan menyediakan akses kepada sumber makanan yang berkualiti dan selamat.
“Ini secara langsung akan meningkatkan pendapatan pengusaha sehingga 100 peratus khususnya pengeksportan sayuran tanah tinggi ke negara Brunei, Jepun dan Korea.”
Menekankan pentingnya penyelidikan dan inovasi dalam sektor pertanian, Masidi berkata, bidang bioteknologi akan dikembangkan untuk membolehkan penyelidikan dilaksanakan dengan lebih cepat agar industri pertanian di negeri ini bergerak seiring dengan perkembangan global.
“Penghasilan varieti baharu seperti Avokado QAV 3 yang unggul dan berdaya saing di peringkat global bakal memanfaatkan para pengusaha untuk mengeksport buah ini ke pasaran domestik dan antarabangsa.
“Seterusnya, pembangunan industri pertanian yang berdaya saing memerlukan modal insan terlatih sebagai penggerak. Justeru itu, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM7.49 juta kepada Institut Pertanian Sabah dan Pusat Latihan Vokasional Pertanian dalam usaha melahirkan lebih ramai sumber tenaga kerja separuh mahir bagi Sektor Pertanian dan Perladangan.”
Beliau berkata, Korporasi Pembangunan Desa (KPD) diperuntukkan sebanyak RM20.42 juta pada tahun hadapan bagi meneruskan pelaksanaan pelbagai program dengan melibatkan perkongsian pintar di antara KPD dan peserta program kekal.
Strategi ini adalah selaras dengan hala tuju Kerajaan dalam meningkatkan keterjaminan dan keselamatan makanan. Pada tahun 2025, selain meneruskan pengeluaran ayam pedaging, ayam kampung, madu lebah, cendawan segar dan pengeluaran buah pomelo, KPD akan merintis penanaman jagung bijian berkeluasan 60 hektar di Trusan Sapi, Beluran.
Projek perintis ini sebagai menyahut seruan Kerajaan dalam menghasilkan makanan ternak tempatan dan sebagai langkah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan import bagi makanan ternak.
“Penubuhan lima buah lagi Pusat Pengumpulan Hasil Tani pada tahun hadapan iaitu di Tuaran, Penampang, Tambunan, Tenom dan Nabawan adalah sebagai tambahan kepada enam buah Pusat Pengumpulan Hasil Tani sedia ada agar dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pengusaha pertanian.
“Semua pusat berkenaan akan dilengkapi dengan kemudahan pemprosesan asas bagi tujuan menambah nilai produk pertanian dan boleh digunakan oleh para pengusaha termasuk usahawan tani di kawasan-kawasan berhampiran,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri komited untuk meningkat serta mengukuhkan sekuriti dan keselamatan makanan berasaskan ternakan yang berkualiti tinggi di samping membantu para pengusaha dalam industri ternakan untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran dan pendapatan.
Justeru itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) diperuntukkan sebanyak RM87.79 juta untuk perbelanjaan operasi dan meneruskan sebanyak 43 projek pembangunan sedia ada termasuk Program-Program Perkhidmatan dan Penguatkuasaan Veterinar, Kesihatan Awam Veterinar, serta aktiviti-aktiviti pemantauan dan kawalan penyakit.
“Seterusnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM38.60 juta kepada Jabatan Perikanan Sabah bagi meningkatkan lagi pembangunan sub sektor perikanan dan akuakultur.
“Sebagai usaha bagi meningkatkan potensi pengusaha akuakultur marin berskala kecil, Program Pembangunan Akuakultur sama ada Marin atau Air Tawar dilaksanakan melalui pemberian bantuan bahan dan peralatan sistem ternakan dengan sasaran seramai 93 orang pengusaha akuakultur marin dan 10 penternak air tawar.
“Bagi memastikan sumber perikanan terpelihara, Program Konservasi akan diteruskan pada tahun hadapan iaitu dengan mewujudkan masing-masing 10 unit tagal dan tukun tiruan baharu.”
Selain daripada itu, bagi meningkatkan pendapatan nelayan tradisional, Masidi berkata, Program Pembangunan Sosio-Ekonomi Marin diteruskan melalui bantuan insentif peralatan perikanan dan Kursus Peningkatan Kemahiran yang mensasarkan seramai 150 orang nelayan.
Di samping itu, Jabatan Perikanan juga akan melaksanakan Program Kawalan Biosekuriti Perikanan untuk tujuan pemantauan biotoksin marin dengan meningkatkan bilangan sampel sehingga 1,200 sampel untuk dianalisis yang melibatkan ikan dan kerang-kerangan.
Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) diperuntukkan sebanyak RM17.6 juta untuk operasi serta meneruskan pelbagai program dan projek pembangunan yang akan memberi manfaat kepada komuniti nelayan, pengusaha kecil dan sederhana serta pembangunan industri akuakultur dan perikanan.
Antara program yang akan dilaksanakan adalah Program Peningkatan Pendapatan Nelayan dan Program Pembangunan Usahawan yang akan memberi manfaat kepada seramai 101 orang dari kalangan nelayan, usahawan kecil hiliran perikanan dan akuakultur di seluruh Sabah.
Selain itu, kata Masidi, Program Pembangunan Akuakultur, Program Pengeluaran Makanan dan Hiliran Perikanan serta Program Pembangunan Kelestarian Perikanan diteruskan bagi mengekal dan melindungi ekosistem perikanan yang akan meningkatkan pengeluaran makanan dan menyokong inisiatif keterjaminan makanan.
“Ko-Nelayan turut membantu menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam menguasai penggunaan aplikasi digital untuk menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 melalui Program Teknologi Maklumat dan Inovasi Ko-Nelayan dengan dua buah projek utama iaitu Elektronik Komuniti Usahawan Nelayan (e-KAN) yang akan memberi manfaat kepada 20 Pengusaha Mikro, Kecil Dan Sederhana dan Projek Nelayan Digital (e-SMART) yang akan memberi manfaat kepada 70 nelayan pesisir pantai.”
Melalui sub sektor keempat iaitu komoditi getah, Lembaga Industri Getah Sabah yang menggalas peranan penting dalam memperkasakan ekonomi pekebun kecil getah diperuntukkan sebanyak RM39.84 juta.
Masidi berkata, daripada jumlah tersebut, RM11 juta adalah bagi perbelanjaan operasi, RM20 juta adalah bagi Pemberian Insentif Pengeluaran Untuk Para Pekebun Kecil Getah dan selebihnya adalah untuk meneruskan projek pembangunan sedia ada termasuk satu program baharu iaitu Program Kawalan dan Pencegahan Penyakit Luruhan Daun Getah.
Bagi menyokong pembangunan Sektor Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah (JPS) diperuntukkan sebanyak RM161.05 juta untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM126.07 juta disediakan untuk meneruskan projek menaik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur pengairan dan saliran, pengurusan dan pembangunan sistem tebatan banjir serta pembersihan dan pertahanan tebing sungai.
“Sebanyak RM3.7 juta diperuntukkan bagi tujuan pembaikan sistem pengairan di sawah-sawah padi iaitu dengan kenaikan peruntukan sebanyak RM1.76 juta. Manakala satu projek di bawah Program Pengurusan Sumber Air iaitu Projek Pemuliharaan Kawasan Tadahan Air di Semporna akan dilaksanakan pada tahun hadapan dengan peruntukan berjumlah RM800 ribu,” jelas Masidi.


































