Kanak-kanak lelaki menyalakan lampu di tebing sungai Yamuna yang diselubungi kabus di New Delhi.
NEW DELHI: Semua sekolah rendah di ibu negara India ditutup berikutan pencemaran udara yang semakin buruk di kawasan itu, lapor pegawai kerajaan.
Menurut Utusan Malaysia, dalam catatan di platform X, Ketua Menteri New Delhi, Atishi Marlena Singh berkata, kelas akan diteruskan secara dalam talian akibat kabus bertoksik yang menyelubungi bandar itu.
Delhi dan bandar berdekatan sedang mengalami tahap pencemaran yang dianggap sangat berbahaya kepada kesihatan orang ramai.
Semalam, bacaan Indeks Kualiti Udara (AQI) di New Delhi mencecah 430, melebihi 50 kali ganda daripada yang dianggap selamat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
New Delhi dan negeri-negeri utara setiap tahun menghadapi pencemaran semasa musim sejuk disebabkan penurunan suhu, asap, habuk, kelajuan angin rendah, pelepasan kenderaan dan pembakaran tunggul tanaman.
Pemantauan oleh IQAir turut memaklumkan bandar Gurugram dan Noida berhampiran New Delhi dan bandar Chandigarh di utara India turut mempunyai pencemaran udara yang berbahaya.
Lapor media tempatan, ramai penduduk di New Delhi mendapatkan rawatan akibat mengalami kerengsaan mata dan masalah pernafasan.
Pencemaran udara dijangka berkurangan dalam beberapa hari akan datang tetapi mungkin kekal pada tahap tidak sihat.
Pihak berkuasa di New Delhi yang mempunyai anggaran penduduk lebih daripada 33 juta orang telah menggubal langkah bagi menangani pencemaran, termasuk menyembur jalan dengan air yang mengandungi penahan habuk.
Pembinaan yang tidak penting juga telah diharamkan dan rakyat diberitahu untuk mengelak daripada membakar arang batu dan mercun.


































