Pusat data di Malaysia mengalami pertumbuhan dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM114.7 bilion antara 2021 dan 2023.
PETALING JAYA: Malaysia berada di landasan terbaik untuk menjadi pasaran pusat data ketiga terbesar di Asia selepas Jepun dan India yang memanfaatkan sektor utama antaranya utiliti, tenaga boleh diperbaharui (TBB), hartanah dan telekomunikasi, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Menurut Utusan Malaysia, firma penyelidikan berkata, masa depan industri pusat data Malaysia dilihat cerah berikutan permintaan global terhadap infrastruktur digital terus berkembang dan peranannya dalam ekosistem pusat data dijangka meningkat.
“Ruang pusat data di Malaysia mengalami pertumbuhan yang ketara, dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM114.7 bilion antara 2021 dan 2023.
“Malaysia mempunyai sumber elektrik dan air yang berpatutan dan mencukupi, menarik penubuhan pusat data kerana ia menggunakan sejumlah besar kedua-dua sumber ini, serta pengendali pusat data antarabangsa yang memberikan mereka akses kepada sumber RE.
“Memandangkan pusat data menggunakan tenaga elektrik yang tinggi, adalah penting bahawa peningkatan ketara dalam penggunaan tenaga dipenuhi dengan peningkatan kapasiti penjanaan TBB bagi memastikan objektif bersih sifar Malaysia tercapai.
“Kami menganggarkan secara kasar 35 gigawatt (GW)hingga 40 GW TBB diperlukan dengan mengandaikan solar untuk menjana 7.2 GW pusat data,” katanya dalam satu nota kajian.
Sementara itu, HLIB berkata, selain elektrik dan air, sambungan jalur lebar yang tinggi menjadi utiliti kritikal ketiga dalam industri pusat data
“Kesambungan di sini merujuk secara khusus kepada gentian dan bukan sahaja dengan liputan domestik, tetapi juga jangkauan meluas ke peringkat antarabangsa.
“Jalur lebar menghantar dan menerima data pada kelajuan cahaya telah menjadi prasyarat untuk rangkaian antara pusat data, korporat, pembangun dan pengguna akhir,” katanya.
Tambahnya, di bawah sektor pembinaan, kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang canggih adalah penting untuk pusat data moden, yang memerlukan konfigurasi lanjutan dan langkah keselamatan siber.
“Kami menganggarkan terdapat nilai pembinaan pusat data bernilai RM130 bilion hingga RM228 bilion berdasarkan saluran paip beban IT 4.5 hingga 5.1 GW dan ini akan menjadi rahmat bagi pembina pusat data yang bereputasi,” katanya.