Gambar Hiasan
NEW YORK: Enam syarikat Malaysia dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) kerana didakwa beroperasi atau pernah beroperasi dalam sektor pembuatan Russia.
Menurut Utusan Malaysia, syarikat itu ialah Zeolite Mansford Sdn Bhd, Centrina United Sdn Bhd, Gyntec Carbon Sdn Bhd, Moralability Industrial Sdn Bhd, Melix Global Sdn Bhd, dan Maxtrum Capital Sdn Bhd.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS di laman webnya, enam syarikat itu adalah antara 400 entiti dan individu yang disekat kerana didakwa membolehkan penganiayaan Russia terhadap perang haramnya di Ukraine.
“Semua sasaran ditetapkan menurut Perintah Eksekutif (EO) 14024 yang membenarkan sekatan berkenaan dengan aktiviti asing berbahaya tertentu kerajaan Russia.
“AS akan terus menggunakan semua alat yang ada untuk mengganggu sokongan terhadap pangkalan industri ketenteraan Russia dan menyekat keupayaan Kremlin untuk mengeksploitasi sistem kewangan antarabangsa serta menjana pendapatan dalam meneruskan perangnya terhadap Ukraine.
“Kami terus bersolidariti dengan Ukraine dalam mempertahankan tanah airnya daripada pencerobohan Russia,” jelas kenyataan itu.
Jabatan itu berkata, Zeolite Mansford Sdn Bhd menghantar item Senarai Keutamaan Tinggi Biasa atau CHPL (Tahap 3) bernilai kira-kira AS$2.1 juta (RM9.19 juta), termasuk galas bebola kepada syarikat yang berpangkalan di Russia pada Mac lalu.
Maxtrum Capital Sdn Bhd dan Centrina United Sdn Bhd turut menghantar barangan serupa masing-masing bernilai bernilai kira-kira AS$2.1 juta (RM9.19 juta) dan AS$2.7 juta (RM11.82 juta) pada bulan yang sama.
Antara Februari tahun lalu dan April tahun ini, Gyntec Carbon Sdn Bhd menghantar sekitar AS$2 juta (RM8.8 juta) nilai CHPL Tahap 3 kepada syarikat yang berpangkalan di Russia.
Moralability Industrial Sdn Bhd pula menghantar barangan CHPL Tahap 3 bernilai kira-kira AS$1.3 juta (RM 5.7 juta) kepada syarikat yang berpangkalan di Russia antara November tahun lalu dan April tahun ini.
Melix Global Sdn Bhd dilaporkan mengeksport lebih AS$190,000 (RM831,883) barangan CHPL seperti galas bebola kepada Baltpromservis yang ditetapkan AS pada bulan April.
Reuters melaporkan tindakan itu mencerminkan usaha berterusan AS menangani langkah yang dikenakan ke atas pencerobohan Moscow di Ukraine dan menyasarkan entiti di beberapa negara ketiga, termasuk China, India, Malaysia, Thailand, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).


































