Kartel baja RM1.8 bilion: Eksekutif pemasaran syarikat ditahan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
PUTRAJAYA: Seorang eksekutif pemasaran salah sebuah syarikat yang ditawarkan projek pembelian baja padi oleh sebuah pertubuhan ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perintah reman selama empat hari sehingga 2 November ini dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin terhadap suspek, selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi kelmarin.
Menurut sumber lelaki yang berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM lewat petang Selasa.
“Hasil siasatan awal mendapati syarikat tersebut merupakan sebuah syarikat yang tidak aktif (dormain) di Malaysia sejak lapan tahun lepas.
“Walau bagaimanapun, syarikat induknya merupakan sebuah syarikat berpengkalan di negara jiran Singapura. Syarikat terbabit juga dikatakan telah menerima kontrak pembekalan baja berjumlah 15,000 tan atau lebih kurang RM60 juta pada tahun 2022.
“Pemberian kontrak sangat meragukan di mana ia dipercayai dibuat atas arahan pihak tertinggi Pertubuhan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah dan diberikan secara runding terus atas alasan pembelian darurat,” katanya.
Tambah sumber, bagaimana kontrak bernilai RM60 juta ini boleh diberikan atas nama syarikat yang telah tidak aktif sejak lapan tahun lepas amat mencurigakan.
Begitu juga keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa atas nama pembelian kecemasan, ujarnya.
Semalam ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan SPRM telah memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi oleh salah sebuah Pertubuhan di bawah Kementerian terbabit.
Kes disiasat dibawah seksyen 16, 18 dan 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.