Xavi Hernandez
LONDON: Bekas bintang Barcelona, Xavi Hernandez kini dikatakan menjadi sasaran terbaharu Manchester United sekiranya kelab itu memecat pengurus pasukan, Erik ten Hag.
Menurut Utusan Malaysia, difahamkan, wakil daripada Red Devils telah dua kali menghubungi bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu beberapa bulan lalu.
Empat wakil United diketuai ketua eksekutifnya, Omar Berrada mengunjungi Barcelona, Khamis lalu walaupun sumber dalaman kelab memberitahu beberapa mesyuarat peringkat tertinggi telah berlangsung di situ dan secara kebetulan pemilik bersama, Jim Ratcliffe juga berada di Catalan untuk memberi sokongan kepada pasukan layar Ineos Britannia yang bertarung dengan New Zealand untuk merebut Piala Amerika.
Pada masa sama, spekulasi turut menyebut Xavi mungkin menjadi antara pencabar untuk berhijrah ke Old Trafford sekiranya Ten Hag dipecat selepas dua tahun setengah mengemudi United.
Pembantu Ten Hag, Ruud van Nistelrooy mungkin akan memangku sementara tugas pengurus dan pada masa yang sama Xavi sudah menyatakan hasrat tidak mahu lagi menjadi jurulatih di Sepanyol.
Dalam pada itu, sumber itu memberitahu, Ten Hag akan kekal sebagai pengurus kelab pada masa ini ketika pasukan itu sedang bersiap untuk menentang Fenerbahce dalam Liga Europa, esok.
United bagaimanapun enggan mengulas spekulasi tentang masa depan pengurus pasukan mereka.































