Alan Shearer
LONDON: Bekas kapten England, Alan Shearer menyifatkan keputusan Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) melantik Thomas Tuchel sebagai pengendali The Three Lions adalah satu langkah berani, malah dia perlu memastikan skuad itu muncul juara Piala Dunia 2026.
Menurut Utusan Malaysia, Shearer berkata, dengan memenangi trofi sahaja mampu membuktikan keputusan berkenaan adalah tepat dan memberi kegembiraan kepada peminat England.
“Kami mahukan trofi dan memerlukan pengendali yang mampu merealisasikannya.
“Tidak dinafikan rekodnya menakjubkan tetapi ia akan memberikan cabaran berbeza buatnya. Ia satu tindakan berani oleh FA (Inggeris),” kata Shearer.
Bekas pengendali Chelsea dari Jerman, Tuchel disahkan sebagai pengganti tetap Gareth Southgate sekali gus menjadi ketua jurulatih asing ketiga membimbing England.
Tuchel dibantu jurulatih Inggeris, Anthony Barry dan akan memulakan tugasnya pada 1 Januari menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2026.
Sepanjang di bawah Southgate, England mengembalikan reputasinya di pentas bola sepak dunia tetapi tidak mencukupi untuk menjulang trofi pertama selepas Piala Dunia 1966.
Mereka mara ke final Kejuaraan Eropah 2020 dan 2024 serta separuh akhir Piala Dunia 2018.
Dalam pada itu, seorang lagi bekas kapten England, Gary Lineker berkata, barisan pemain yang ada sekarang seperti Harry Kane, Jude Bellingham, Phil Foden dan Cole Palmer memberi peluang buat Tuchel untuk mengulangi pencapaian Alf Ramsey.
“Tuchel akan melihat skuadnya dan berfikir ramai pemain berbakat yang ada, ini adalah peluang terbaik untuk memenangi trofi paling utama,” kata Lineker.
Sementara itu, bekas pertahanan England, Micah Richards menyifatkan pelantikan Tuchel memberi gambaran buruk terhadap kemampuan pengendali Inggeris.
“Apa yang paling mengecewakan ialah kita tidak mempunyai calon tempatan yang berpotensi memegang jawatan itu,” kata Richards.
































