Bekas jurulatih badminton Denmark, Kenneth Jonassen (kanan) antara calon yang disebut-sebut menggantikan tempat Hendrawan.
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka mengumumkan ketua jurulatih perseorangan pada Jumaat ini dan ketika ini, perbincangan berada di peringkat akhir.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, persetujuan telahpun dicapai, namun jurulatih berkenaan meminta sedikit masa dan ruang sebelum pengumuman rasmi dibuat.
“Sekiranya tiada masalah berbangkit, maka, ketua jurulatih itu akan memulakan tugasnya bulan ini dan dia dijangka mengemudi sektor perseorangan lelaki dan wanita.
“Kita masih lagi berunding, saya dan Datuk Kenny (Goh) sudah pun bercakap dengannya, apa yang kita tawarkan dan apa yang beliau minta, kedua-dua pihak sudah bersetuju.
“Cuma sekarang beliau meminta diberikan masa sehari, dua lagi, jadi hari ini (semalam) saya akan mesej untuk minta pengesahan,” katanya ketika ditemui pemberita di ABM, Bukit Kiara, semalam.
Terdapat beberapa nama yang disebut-sebut berpotensi mengisi kekosongan jawatan tersebut antaranya bekas ketua jurulatih Denmark, Kenneth Jonassen dan Mulyo Handoyo yang pernah membimbing legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat.
Nama ketua jurulatih Jepun, Park Joo Bong juga ada disebut-sebut, namun memandangkan kontrak legenda beregu Korea Selatan itu hanya akan berakhir, hujung tahun ini, kemungkinan besar beliau bukanlah calon yang sesuai untuk menggalas tanggungjawab berat tersebut.
Walau siapapun individu yang akan dilantik kelak, jurulatih berkenaan memiliki tugas berat untuk menaikkan kembali kegemilangan sektor perseorangan lelaki dan wanita.
Untuk perseorangan lelaki, ABM sekurang-kurangnya memiliki beberapa nama seperti Leong Jun Hou, Ng Tze Yong, Justin Hoh dan Eogene Ewe yang berpotensi melangkah jauh, namun, bagi perseorangan wanita jurulatih tersebut mempunyai misi berat untuk mencari pengganti Wong Mew Choo.
Kenapa nama Mew Choo yang disebut kerana isteri kepada legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei itu merupakan pemain terbaik yang pernah BAM lahirkan dan selepas persaraannya pada 2011, Malaysia sehingga kini gagal mencari penggantinya.
Baru-baru ini, ABM mengumumkan empat nama iaitu K. Letshanaa (21 tahun), Wong Ling Ching (21 tahun), Oo Shan Zi (17 tahun) serta Siti Zulaikha Azmi (18 tahun) diserapkan ke dalam skuad senior dan misi untuk menggilap pemain-pemain muda ini bakal digalas calon tersebut.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Rexy memberitahu, pihaknya juga sudah mencapai persetujuan melantik ketua jurulatih beregu wanita, namun calon itu meminta identitinya dirahsiakan dulu.

































