Dr. Chiang menyampaikan anugerah tersebut kepada Hajiji (lima dari kanan).
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah dianugerahkan Anugerah ASEAN Federation of Engineering Organisations (AFEO) Distinguished Honorary Fellow atas dasar-dasar visinya dan pemahamannya terhadap peranan komuniti kejuruteraan.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Presiden IEM/Pengerusi AFEO Ir. Prof. Dr. Jeffrey Chiang Choong Luin di Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Membaca petikan anugerah tersebut, Setiausaha Agung AFEO, Ir. Prof. Dr. David Chuah Joon Huang berkata:
“Anugerah ini diberikan kepada individu seperti Timbalan/Naib Presiden sesebuah negara, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Kementerian dan individu-individu yang terkenal yang memegang jawatan tinggi serta tokoh terkemuka dunia yang telah memberikan perkhidmatan yang amat besar dan cemerlang kepada profesion kejuruteraan, institusi dan negara ASEAN.
“Sumbangan besar beliau (Hajiji) terhadap pembangunan masyarakat, kemajuan ekonomi dan tadbir urus yang berkesan menyerlahkan seorang pemimpin yang komited terhadap kebajikan Sabah. Tadbir urusnya yang cekap, dasar-dasar visi dan pemahamannya terhadap peranan komuniti kejuruteraan menjadikannya calon yang layak untuk pengiktirafan di peringkat ASEAN.”
Disertai oleh Ketua Pesuruhjaya AER, Ir. Simon Yeong Chin Chow dan jawatankuasa IEM Sabah yang diketuai oleh Pengerusinya Ir. Ts. Mohd. Yaakob Hj. Jaafar, Dr. Chiang telah memberi taklimat kepada Ketua Menteri mengenai Persidangan ke-42 AFEO (CAFEO) yang akan dianjurkan oleh Institut Jurutera Malaysia (IEM) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini dari 22 hingga 24 Oktober.
Bertemakan “Mencarta Pertumbuhan ASEAN dengan Transformasi Digital, Kejuruteraan Pintar dan Penyelesaian Hijau”, CAFEO ke-42 dijangka menarik 1,200 hingga 1,500 peserta.
Anugerah AFEO Distinguished Honorary Fellow biasanya diberikan sempena majlis perasmian CAFEO.






























