Keadaan dua kenderaan dan sebuah motosikal dalam terlibat dalam nahas itu. – Ihsan Bomba
LAHAD DATU: Tiga maut manakala 10 yang lain cedera termasuk dua parah dalam nahas melibatkan dua buah kenderaan dan sebuah motosikal di Jalan Felda Sahabat, di sini petang kelmarin.
Yang meninggal dunia ialah seorang lelaki dewasa, seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu diterima pada jam 6.19 petang kelmarin menerusi talian MERS999.
Sepasukan 10 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mohammad Akbar Mohambar.dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 7.31 malam.
Setiba di lokasi kejadian, mereka mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Nissan Navara dan Proton Saga Aeroback dan sebuah motosikal yang bertembung.
Terdapat 13 orang mangsa terlibat.
Kesemua mangsa cedera telah dihantar ke Klinik Kesihatan Tungku oleh pihak ambulans dan kenderaan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dilokasi kejadian.
Empat orang mangsa dalam Proton Saga Aeroback telah dikeluarkan oleh orang awam dan dua orang cedera parah dihantar ke Klinik Kesihatan Tungku oleh pihak ambulans bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Seorang lagi mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tungku, menurut maklumat daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia).
Seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Seramai lapan orang mangsa dalam Nissan Frontier yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke Klinik Kesihatan Tungku oleh orang awam.
Pasukan bomba membuat pemeriksaan untuk memastikan tiada bahaya lain wujud sebelum menamatkan operasi pada jam 10.06 malam.


































