James melawat tapak projek tersebut semasa lawatan kerjanya ke Telupid.
TELUPID: Sebuah pusat khas untuk warga emas yang memerlukan penjagaan dan perlindungan sedang dibina di sini dan dijangka siap pada penghujung tahun hadapan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, projek Rumah Warga Tua Kendiri Telupid itu yang melibatkan kos sebanyak RM2.5 juta dijangka siap pada Disember 2025.
Beliau melawat tapak projek tersebut semasa lawatan kerjanya ke Telupid.
Projek di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) itu sedang dalam pembinaan berhampiran Pejabat JPKA Daerah Telupid.
James berkata, projek itu melibatkan pembinaan bangunan asrama dan bangunan pentadbiran yang akan menempatkan warga emas yang memerlukan penjagaan dan perlindungan.
“Golongan sasaran adalah warga emas yang masih sihat, tetapi keseorangan, tiada tempat tinggal dan masih mampu berusaha.
“Asrama ini akan menyediakan persekitaran yang selesa dan selamat, memastikan kesejahteraan fizikal dan mental mereka terjaga.
“Selain itu, bangunan pentadbiran akan berfungsi sebagai pusat pengurusan yang mengatur segala keperluan dan aktiviti penghuni,” katanya.
Beliau berkata, projek tersebut diharap dapat memberi peluang kepada warga emas untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna, dengan sokongan komuniti dan kemudahan yang disediakan.
“Dalam masa yang sama, pusat tersebut juga diharap memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk menyumbang dan berusaha dalam pelbagai aktiviti yang disediakan,” tambahnya.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap KPMKR, Walter Kenson, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am JPKA, Jais Asri dan lain-lain.