Masiung (tengah) bersama Sarafudin (dua dari kiri) semasa mesyuarat Agung Sekong.
SANDAKAN; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat mempunyai peluang merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong daripada Parti Warisan pada Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) akan datang.
“Secara peribadi, saya melihat GRS tidak mempunyai masalah untuk memenangi satu kerusi baharu iaitu DUN Sekong,” kata Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Masiung Banah.
Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sekong di Dewan Masyarakat Sandakan yang dihadiri lebih 1,000 perwakilan dan pemerhati, kelmarin.
Sebagai Penyelaras Gagasan Rakyat Zon 10 Parlimen Batu Sapi, Kinabatangan dan Sandakan, Masiung optimis kerusi DUN Sekong berpotensi besar menjadi milik GRS pada PRN ke-17 akan datang.
“Walaupun Sekong kini diwakili pembangkang tetapi rakyatnya tidak boleh dibiarkan terus terasing tanpa adanya peruntukan Kerajaan menerusi Wakil Rakyat.
“Tambahan lagi, Warisan kini dalam keadaan terhimpit selepas memperlihatkan mutu pentadbiran hambar ‘ala Semporna’ selepas empat tahun lalu mendapat peluang menerintah selama 22 bulan,” katanya.
Di Parlimen Batu Sapi, slogan ” DUN Karamunting kita pertahan, Sekong kita tawan” kini bergema sebagai pencetus semangat para pemimpin dan penyokong GRS.
Masiung yakin Gagasan Rakyat Bahagian Sekong yang diketuai Safarudin Abu telah membina kekuatan sebagai kuasa besar parti itu bagi membantu GRS meraih kemenangan di kawasan itu.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berbangga kerana Gagasan Rakyat Sekong adalah antara yang terawal membentuk jentera pilihan raya pelbagai peringkat termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis.
Dengan kekuatan lebih 200 cawangan dan 7,000 lebih ahli parti itu di Sekong, Masiung yakin kerusi Warisan di kawasan itu dapat ditawan.