Tong roro yang diletakkan di laluan kecemasan di Lebuh SPA, Melaka tanpa tanda amaran didakwa menjadi punca kemalangan maut dua beradik semalam.
MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang membonceng motosikal bersama abangnya maut selepas merempuh tong roro yang berada di laluan kecemasan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) di sini, petang semalam.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, mangsa, Nur Afiqah Sofea Hazlin dan Muhammad Amirul Hazlin, 18, menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, si abang disahkan meninggal dunia pada pukul 7.40 malam manakala adiknya pukul 12.30 tengah malam semalam.

Muhammad Amirul Hazlin dan Nur Afiqah Sofea Hazlin
“Siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan dari Ayer Keroh menghala ke Sungai Udang.
“Semasa sampai di lokasi kemalangan, penunggang terlibat dipercayai tidak perasan sebuah kontena loro berada di bahu jalan lalu melanggarnya.
“Dalam kemalangan tersebut, adik-beradik itu mendapat kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.
Tambah Christopher, polis sedang mengesan pemilik tong roro berkenaan manakala saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Norizan Ujak
Sementara itu, ibu mangsa, Norizan Ujak, 40, mendakwa, kemalangan itu berlaku akibat kecuaian kontraktor yang tidak meletakkan tanda amaran selepas tong roro diletakkan di laluan kecemasan bagi kerja-kerja pemotongan pokok di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) semalam.
Dakwa ibu mangsa, Norizan Ujak, 40, yang menyaksikan kejadian, tiada pengawal lalu lintas yang berada di lokasi dan hanya satu kon sahaja diletakkan berhampiran tong tersebut.
Katanya, anak sulungnya, Muhammad Amirul yang menunggang motosikal bersama anak bongsu berusia lima tahun, Nur Afiqah Sofea tidak sempat mengelak tong berkenaan.
“Saya berada di belakang mereka menunggang sebuah lagi motosikal dengan anak nombor dua.
“Saya nampak dia terpelanting, saya hanya mampu menjerit ‘Ya Allah, anak aku’. Saya angkat anak yang bongsu tapi sudah terkulai, tangan dan kakinya patah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini, semalam.
































