Gambar diterbitkan Los Angeles Times memaparkan fosil vertebrata dan tulang rusuk dari spesies ikan lumba-lumba yang pupus.
LOS ANGELES: Sekumpulan penyelidik menemukan fosil marin dipercayai berusia 8.7 juta tahun lalu di bawah sebuah sekolah menengah di selatan Los Angeles, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, akhbar Los Angeles Times melaporkan, penemuan itu dibuat di dua lokasi di kawasan Sekolah Menengah San Pedro membabitkan fosil salmon bertaring dan megalodon iaitu ikan yu prasejarah gergasi.
Menurut laporan tersebut, sebelum ini satu lapisan tulang berusia 8.7 juta tahun dari era Miocene dan satu lapisan cengkerang berusia 120,000 tahun dari era Pleistocene pernah dijumpai di dua lokasi itu antara Jun 2022 dan Julai lalu.
Dalam satu kenyataan kepada Los Angeles Times, ahli geologi dari Universiti Negeri California di Long Beach, Richard Behl memberitahu, penyelidik sedang menguji komposisi kimia dan mineral fosil tersebut.
Pengarah Sumber Budaya di firma perunding alam sekitar Envicom Corporation, Wayne Bischoff berkata, penemuan itu membabitkan ekosistem dari zaman purba, justeru ia boleh membantu penyelidik memahami ekologi sembilan juta tahun yang lalu.
Gambar-gambar yang diterbitkan di Los Angeles Times memaparkan fosil vertebrata dan tulang rusuk dari spesies ikan lumba-lumba yang telah pupus, tulang rahang dari salmon bertaring yang telah pupus dan fosil ribuan ikan kecil.
Menurut Los Angeles Times, fosil-fosil tersebut telah diagihkan ke pelbagai institusi penyelidikan dan pendidikan termasuk Akuarium Marin Cabrillo di San Pedro, Universiti Negeri California Channel Islands dan Muzium Sejarah Alam Los Angeles County.
Penolong Kurator di Muzium Sejarah Alam Los Angeles County, Austin Hendy berkata, penyelidik percaya terdapat saluran dasar laut yang membawa bahan dari kawasan cetek ke kawasan dalam serta aktiviti gunung berapi yang berlaku di sekitar kawasan tersebut.
“Ini adalah kejutan besar kepada semua penyelidik apabila mereka mula menggali parit-parit ini untuk mengeluarkan fosil ikan-ikan tersebut,” katanya.
































