Razarudin Husain
PETALING JAYA: Ibu bapa kepada kanak-kanak yang diletakkan di rumah amal di bawah syarikat GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) sejak usia dua tahun, dipercayai berada di luar negara untuk bekerja dan menjalankan perniagaan berkaitan organisasi itu.
Difahamkan, mereka adalah ahli-ahli terhadap organisasi berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya kini dalam proses mengenal pasti ibu bapa kepada kanak-kanak berkenaan selepas proses dokumentasi dilakukan.
Katanya, maklumat terperinci perlu diperoleh bagi mengetahui sama ada ibu bapa terbabit dipaksa berbuat demikian atau sebaliknya.
“Siasatan masih berjalan dari pelbagai sudut untuk melihat jika ada elemen-elemen perbuatan jenayah dalam isu ini. Kita perlu teliti satu per satu.
“Kita juga dalam tindakan memanggil pengurusan tertinggi syarikat GISBH,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Razarudin berkata, sebanyak 39 lagi rumah amal dikaitkan dengan GISBH di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak berada dalam radar pemantauan.
Beliau tidak menolak kemungkinan terdapat tindakan lanjut diambil selepas siasatan mendapati wujud elemen jenayah.
“Kita akan lihat semua sudut termasuk mengesan dana-dana diterima rumah amal ini, ini juga dalam tindakan lagi,” jelasnya.
Beliau berkata, siasatan yang dilakukan polis termasuk serbuan ke atas 20 rumah amal baru-baru ini adalah hasil pemantauan PDRM berhubung dakwaan selama enam bulan.
“Kita telah menyiasat syarikat itu sejak 2011 selain pernah bertemu wakil dari Pusat Penyelidikan Ajaran Sesat (Pukas) walaupun sebelum dakwaan mengenai GISBH tular dalam media sosial baru-baru ini.
“Mereka antara yang memberikan maklumat awal yang memudahkan kami melihat dan teliti semula berasaskan laporan yang diterima berkait dengan GISBH ini,” katanya.
Beliau berkata, siasatan dilakukan juga berpandukan kepada satu laporan yang dibuat oleh bekas ahli GISBH dari Negeri Sembilan yang kemudian ditarik balik.
“Wanita itu kemudian membuat laporan baharu dan polis membuka siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak,” katanya.
“Seksyen itu menetapkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi sesiapa yang bertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak tetapi meninggalkan, mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada bahaya sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal atau emosi,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, maklumat diperoleh memberi petunjuk yang boleh dipercayai dan boleh diambil tindakan.
“Berpandu maklumat itu juga membolehkan polis memulakan fasa pertama Op Global dengan bantuan Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Mereka mula mengumpul risikan untuk meneliti kes ini. Malah, saya juga ada menghadiri mesyuarat dengan wakil Cawangan Khas dan JSJ dan diberi taklimat mengenai penemuan mereka dua hari sebelum serbuan ke atas rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan dilakukan,” katanya.
Semalam, hasil saringan PDRM terhadap penghuni rumah amal di bawah syarikat GISB GISB mendapati, kanak-kanak yang diselamatkan diasingkan daripada ibu bapa mereka seawal usia dua tahun.
Lebih mengejutkan, ada antara mereka tidak mempunyai latar belakang yang jelas kerana tidak pernah mengenali ibu bapa mereka.
Keseluruhan mereka yang diselamatkan dikenal pasti daripada generasi ketiga dan keempat ahli GISB.
Ada maklumat diterima polis mendapati ibu bapa kanak-kanak ini berada di Arab Saudi dan Turkiye selama lima hingga enam tahun, tetapi anak mereka berada di Malaysia.


































