Hajiji menunggang motosikal sambil dikelilingi oleh para peserta Sabah Moto Day 7.0.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menekankan pembangunan belia, dan selaras dengan Dasar Belia Sabah, sebanyak RM16.9 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, program tersebut merangkumi aktiviti kesukarelawanan dan perpaduan sosial.
“Kerajaan juga akan terus menyediakan sumber untuk pelaksanaan pelbagai program untuk belia kita, termasuk latihan kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan.
“Skim pembangunan belia seperti Skim Jaya Usahawan Belia Sabah atau SYABAS akan terus menyokong usahawan muda kita dalam memulakan dan mengukuhkan inisiatif keusahawanan mereka,” katanya pada majlis perasmian Sabah Moto Day 7.0 di padang latihan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Hajiji bersama sebahagian daripada peserta Sabah Moto Day 7.0.
Sambil menyatakan kegembiraan dengan kehadiran 50,000 orang termasuk dari Brunei dan Semenanjung Malaysia, Ketua Menteri berkata, beliau akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk memasukkan Sabah Moto Day dalam kalendar pelancongan negeri.
Beliau berkata, acara di UMS ini merupakan program sukan permotoran dua roda tahunan terbesar yang dinanti-nantikan oleh peminat di Sabah dan negeri-negeri jiran.
“Saya percaya program ini akan menggalakkan belia untuk terlibat dalam aktiviti yang bermanfaat untuk menjauhkan mereka daripada aktiviti lumba haram, mengukuhkan hubungan dan mewujudkan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah di samping mempromosikan keselamatan penunggang motosikal kepada orang ramai,” katanya.
Ketua Menteri memuji penganjur Sabah Moto Day 7.0 kerana banyak program bermanfaat telah dirancang semasa acara dua hari ini sempena sambutan Hari Malaysia yang mensasarkan golongan belia.
“Pemberian sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Tuaran bersama Pasukan Anti Narkotik Sabah akan menggalakkan belia kita melakukan kerja amal dan menyumbang kepada golongan yang memerlukan.
“Saya yakin program ini akan memupuk perpaduan dalam kalangan belia dalam sukan permotoran dua roda dan menerapkan nilai-nilai murni selaras dengan objektif acara ini.
“Selaras dengan komitmen Kerajaan untuk melahirkan golongan belia sebagai pelapis kepimpinan negeri dan negara, saya berharap program seperti ini akan terus dianjurkan,” katanya.


































