PETALING JAYA: Pelakon, Siti Khadijah Halim, 27, berkongsi pengalaman pernah dibuli di set penggambaran semasa penglibatan awalnya bergelar anak seni.
Menurut Utusan Malaysia, dia berkata, ketika itu dia berdepan situasi dimaki di depan semua orang, skrip dicampak dan tidak dibenarkan pulang walaupun adegan lakonan telah selesai.
“Saya tidak salahkan sepenuhnya orang yang buli saya, mungkin saya ada salah juga. Tetapi tindakan mereka itu agak melampau. Skrip saya pernah dicampak ke luar tingkap oleh seseorang sedangkan dia bukanlah pengarah cerita tersebut.
“Walaupun babak lakonan saya sudah selesai sebelah petang, dia tahan saya sampai pukul 12 tengah malam sebelum dibenarkan pulang.
“Situasi itu buat saya sangat keliru, malu dan terkejut. Ikutkan hati saya boleh sahaja marah dan suarakan pendapat, tapi ketika itu saya pun masih baru,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Susulan itu, pelakon Saga With Love itu akan memastikan perkara serupa tidak berulang kepada mana-mana pelakon baharu.
“Saya suka berkongsi banyak benda dengan pelakon baharu atau pelakon tambahan. Cuba sedaya upaya tidak memberi pengalaman yang dilalui itu kepada orang lain.
“Buli bukan benda yang okey dan saya juga tidak suka orang lain ambil kesempatan di atas kebaikan seseorang,” katanya.
“Saya pernah hadapi masa sukar itu dan tidak mahu ada sesiapa yang mengulanginya. Jika ada pelakon yang dibuli di depan saya, saya akan pertahan dia,” jelasnya.