Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan supaya tidak menggunakan pendakwaan mengikut Akta Hasutan 1948 terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai isu politik sebaliknya akibat keterlanjurannya sendiri.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan Bersatu supaya tidak mengalihkan isu sebenar berhubung tindakan pendakwaan tersebut.
Katanya, laporan dibuat oleh Istana Pahang susulan kenyataan dibuat Muhyiddin ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Beliau berkata, dalam kes berbeza pula iaitu membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Istana Selangor membuat laporan terhadap pemimpin tersebut.
“Laporan (polis) dibuat oleh Istana Pahang dan dalam kes lain Istana Selangor, jadi tak usah dipusing, dia tahu hendak main politik (sahaja).
“Saya hendak nasihat isu ini diangkat oleh Istana Pahang dan Istana Selangor, kamu langgar peraturan, kamu terlanjur, you have to deal with it (kamu harus hadapinya), tak usah hendak gunakan ini (Akta Hasutan) sebagai (bahan) politik,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri Majlis Pecah Tanah Rumah Madani di Taman Desa, di sini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau tidak mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam isu pendakwaan terhadap Muhyiddin.
“Saya beritahu kepada menteri-menteri, serah kepada polis. Laporan dibuat, polis ambil laporan dari Istana Pahang, sebelumnya Istana Selangor dan diambil tindakan serta Peguam Negara ambil tindakan susulan (pendakwaan),” katanya.
Selasa lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu didakwa berkaitan kenyataan menghasut berkenaan dakwaan beliau yang tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.
Pada 18 Julai 2023 pula, Muhammad Sanusi didakwa di bawah akta sama berkaitan tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan berhubung lantikan Menteri Besar Selangor dalam sebuah ceramah politik.
Susulan pendakwaan itu, Bersatu dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) menyifatkan pendakwaan terhadap Presidennya sebagai bermotif politik, terpilih dan berniat jahat.
































