Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi dan kereta Proton Persona di Kilometer 258.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan dekat Seremban di sini awal pagi tadi- Gambar Ihsan PDRM
SEREMBAN: Seorang pemandu kereta yang sedang berhenti untuk melihat kenderaannya yang terbabas di kiri jalan maut selepas dirempuh sebuah kereta lain yang terbabas dalam kejadian di Kilometer 258.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan dekat di sini awal pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa seorang lelaki berusia 31 tahun maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah di perut dan kaki.
Menurut Mohamad Hatta, berdasarkan siasatan kejadian lebih kurang pukul 5.45 pagi itu berlaku ketika kereta Perodua Myvi dipandu mangsa yang datang dari Cyberjaya menghala ke Batu Pahat telah terbabas dan melanggar besi penghadang bahu sebelah kiri jalan.
“Kemudian pemandu tersebut turun dan berhenti di sebelah kiri jalan.
“Selang beberapa minit, sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 36 tahun yang memandu di lorong kanan telah terbabas dan berpusing masuk ke lorong kiri lalu melanggar kereta dan pemandu Perodua Myvi tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelas Mohamad Hatta, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk proses bedah siasat manakala pemandu Proton Persona tidak mengalami sebarang kecederaan dan
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya
Jelas beliau, pihak polis menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya untuk lebih berhati-hati semasa memandu terutama pada waktu gelap dan cuaca yang tidak baik bagi mengelakkan sebarang kecelakaan.


































