Anwar Ibrahim bersalaman dengan Sultan Hassanal Bolkiah sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 (ALC-25) di Bandar Seri Begawan, hari ini.
PETALING JAYA: Malaysia dan Brunei memeterai beberapa instrumen dua hala sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 (ALC-25) di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Kerjasama dua hala berkenaan melibatkan memorandum persefahaman (MoU) mengenai Fasa Pertama Penandaan dan Pengukuran Sempadan Darat, MoU mengenai Kerjasama Pengangkutan serta pertukaran nota mengenai Sempadan Darat.
Pemeteraian instrumen kerjasama dua hala berkenaan menyerlahkan komitmen Malaysia-Brunei dalam memperkukuhkan hubungan, memacu peningkatan kerjasama demi kepentingan bersama.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyifatkan misi lawatan tersebut sebagai berjaya berikutan komitmen serius kedua-dua negara dalam mencari jalan penyelesaian isu berbangkit dan tertangguh khususnya berkaitan persempadanan.
“Hari ini saya mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena ALC- di Istana Nurul Iman.
“Kami menggunakan peluang yang ada ini bagi menilai kemajuan kerjasama dua hala dan membincangkan inisiatif baharu bagi memperkukuh hubungan dua hala untuk dimanfaatkan rakyat kedua-dua negara.
“Kami juga mempunyai tekad yang sama dalam menyelesaikan isu hubungan dua hala yang telah sekian lama tertunggak sekali gus mampu mengangkat hubungan di antara kedua-dua negara ke tahap lebih akrab lagi pada masa hadapan,”katanya dalam Facebook.
Kesempatan yang ada kira-kira sejam itu juga digunakan kedua-dua pemimpin bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau demi berkepentingan bersama selain isu antarabangsa seperti hak rakyat Palestin dan Gaza yang perlu terus diperjuangkan untuk bebas merdeka daripada cengkaman dan penindasan rejim Zionis Israel.
Anwar tiba di Bandar Seri Begawan malam semalam bagi menghadiri ALC-25 yang berlangsung di Istana Nurul Iman, hari ini.
































