KUALA LUMPUR: Teknik ‘flushing’ mula digunakan bagi mencari wanita warga asing yang terjatuh dalam insiden tanah jerlus di Masjid India di sini, Jumaat lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Syarif berkata, teknik flushing atau pembersihan mula dilaksanakan oleh Indah Water Konsortium (IWK) di lurang kumbahan lima berhampiran dengan Agro Bank di sini.
“Teknik itu (flushing) akan bermula hari ini di mainhole lima di Agro Bank. IWK mempunyai mapping (pemetaan) dalam kawasan ini dan bersetuju menjalankan ujian (integrity test).
“Kita akan tahan air, ia (air) akan melimpah sehingga kita lepaskan semula,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai perkembangan pencarian pada hari ketiga, Dr. Maimunah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini menumpukan di lurang kumbahan lima di Agro Bank di sini dan lurang kumbahan enam di Bulatan Kinabalu di sini selain lokasi terakhir iaitu di IWK Pantai Dalam di sini.
Beliau berkata, pencarian hari ini ditumpukan di dua lurang kumbahan lima dan enam ekoran pasukan SAR mendapati arus perlahan di kedua-dua lokasi berkenaan.
“Hasil pencarian semalam dari lurang kumbahan satu hingga enam, jadi kita dapati di mainhole lima dan enam arus agak perlahan dipercayai tersumbat berkemungkinan ada debris (sampah).
“Jadi hari ini pencarian di sana bagi memastikan tiada apa-apa tersangkut namun tidak menemukan apa-apa,” ujarnya.
Menurut beliau, SAR setakat ini akan diteruskan sehingga pasukan penyelamat berjaya menemukan mangsa.
“Setakat ini kita tidak menetapkan sejauh mana pencarian ini. Kita akan teruskan SAR ini sehingga mangsa ditemukan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi India bagi melanjutkan visa,” katanya.
Operasi SAR memasuki hari ketiga membabitkan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, PDRM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan IWK.
Jumaat lalu, media melaporkan mangsa merupakan seorang pelancong dari India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dikhuatiri tertimbus dalam kejadian pada 8.22 pagi itu.


































