Sebuah kapal penguat kuasa Vietnam dikesan menganggu tugas Maritim Malaysia dalam Op Naga Barat di perairan Terengganu, Selasa.
KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai dan anggota maritim cedera selepas dilibas nelayan Vietnam yang bersenjatakan objek tajam ketika Op Naga Barat di sempadan perairan negara, Selasa.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Maritim Malaysia Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairul Anuar Abd. Majid, kejadian menyebabkan mangsa cedera di bahagian rusuk kiri, tangan serta kaki.
Beliau berkata, insiden berlaku kira-kira pukul 6.45 petang ketika kapal peronda KM Rawa cuba menahan bot Vietnam yang menceroboh perairan negara pada jarak 125 batu nautika dari Kuala Terengganu.
Selain itu, menurut Khairul Anuar, pihaknya juga mengesan sebuah kapal penguat kuasa Vietnam yang cuba menganggu tugas Maritim Malaysia menahan bot nelayan terbabit.
“Ketika pasukan kami memeriksa dan menggeledah bot berkenaan, kesemua nelayan asing tiba-tiba bertindak agresif dengan menyerang pegawai dan anggota maritim.
“Akibat serangan itu, dua cedera ketika mempertahankan diri manakala seorang lagi anggota terjatuh ke dalam laut semasa pergelutan sebelum diselamatkan kru KM Rawa.
“KM Rawa kemudian bertindak mengusir bot nelayan dan kapal penguat kuasa Vietnam keluar dari perairan negara bagi mengawal situasi getir itu,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.
Beliau menjelaskan, kapal peronda KM Rawa kemudian berpatah balik ke Jeti Maritim Malaysia Terengganu sebelum pegawai dan anggota tercedera dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Mereka yang terlibat kini berada dalam keadaan stabil namun masih dipantau pihak hospital,” jelas beliau.































