SHAH ALAM: Seorang wanita berusia 40 tahun ditemukan maut berlumuran darah dekat dapur dipercayai dibunuh anak lelakinya sendiri di sebuah rumah teres dua tingkat disewa mereka di Taman Sri Muda di sini, semalam.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 4.30 petang dan disedari anak bongsu mangsa berusia lima tahun yang kemudian mengadu kepada jiran mereka sebelum aduan dibuat kepada pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, berdasarkan maklumat diterima menerusi aduan pada 5.49 petang, berlaku pergelutan antara wanita itu dengan anak sulungnya ketika mangsa dipercayai sedang memasak.
Menurutnya, wanita warga Myanmar itu kemudian ditikam dengan senjata tajam oleh anaknya yang berwarganegara sama dan pemeriksaan polis pada tubuh mangsa turut menemukan kesan tikaman.
“Polis menerima maklumat berkaitan kejadian itu daripada jiran sebelah rumah mangsa selepas diberitahu oleh anak bongsu wanita berkenaan berusia lima tahun yang baru pulang dari sekolah.
“Bertindak atas maklumat, kira-kira pukul 7.30 petang polis membuat tangkapan ke atas anak sulung mangsa yang juga warga Myanmar berusia 20 tahun di rumah berkenaan. Turut ditemui pisau yang digunakan untuk menikam ibunya,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, siasatan mendapati suspek tidak berpuas hati dengan wanita itu kerana kerap memarahinya disebabkan masalah kewangan.
Tambah Mohd. Iqbal, permohonan reman terhadap suspek dibenarkan Mahkamah Majistret selama tujuh hari sehingga 27 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.
“Bedah siasat dijalankan dan punca kematian dikenal pasti sebagai smothering in women with stab wound to the abdomen atau lemas akibat ditekup dan mempunyai kesan tikaman pada perut.
“Sementara suspek tidak mempunyai rekod lampau. Normal (tiada masalah mental) dan sudah bekerja. Suami mangsa juga ketika itu berada di tempat kerja. Seramai lapan orang saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Muhammad Abdul Hafiz Sariee di talian 014-8905051.


































