KUANTAN: Seorang suri rumah ditemukan mati dengan kesan jerutan di leher di dalam bilik tidur rumahnya di Indera Mahkota di sini, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mayat wanita berusia 28 tahun itu ditemui ibu mertuanya kira-kira pukul 7.30 malam.
Sebelum itu, difahamkan polis menerima lapiran berkaitan kehilangan wanita terbabit oleh bapanya kira-kira pukul 3.25 petang.
“Polis menerima laporan kehilangan mangsa oleh bapanya berusia 62 tahun (pengadu) kira-kira pukul 3.25 petang semalam.
“Bapa mangsa mendakwa gagal menghubungi anak ketiganya itu selepas kali terakhir mereka berhubung melalui WhatsApp jam 8.30 pagi hari yang sama,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Mohd. Zahari berkata, pada pukul 7.30 malam hari sama, dia dikatakan telah dihubungi suami mangsa memaklumkan mangsa ditemui tidak sedarkan dalam bilik tidur.
“Mayat suri rumah itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk proses bedah siasat,” katanya.
Katanya, mangsa tinggal bersama suami yang merupakan warga China, anak lelaki berusia tiga tahun dan adik ipar perempuan.
Tambah Wan Mohd. Zahari lagi, susulan penemuan mayat wanita itu, polis menahan empat ahli keluarga termasuk suami, bapa, bapa mentua dan ibu mentua berusia 27 hingga 62 tahun untuk siasatan lanjut.
“Semua yang ditahan direman untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.


































