Bonnie Bunyau Gustin
PETALING JAYA: Selain mahu mempertahankan pingat emas, atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin turut mengintai peluang untuk sekali lagi memecahkan rekod dunia pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang bermula 28 Ogos hingga 8 September ini.
Menurut Utusan Malaysia, Bonnie sebelum ini mencipta sensasi apabila memecahkan rekod dunia bagi kategori atas 72 kilogram (kg) di Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas mengangkat 230kg untuk merangkul emas pada Jun 2021.
Atlet berusia 25 tahun itu juga memenangi pingat emas di Paralimpik Tokyo 2020 dengan angkatan terbaiknya 228kg sekali gus memecahkan rekod temasya yang sebelum ini dipegang atlet Iraq, Rasool Mohsin 227kg yang dilakukan ketika di Paralimpik Rio 2016.
“Saya memang melakukan persiapan untuk pecahkan rekod temasya. Saya sediakan mental untuk atasi catatan terbaik saya namun untuk pertahankan emas memang ada tekanannya dan saya memang mahu melakukannya,” kata Bonnie.
Ketika ini, pencabar utama Bonnie di pada Sukan Paralimpik Paris 2024 adalah Donato Telesca apabila difahamkan atlet dari Itali itu berjaya melakukan angkatan seberat 220kg.
“Saya kena berhati-hati sebab saya tidak mempunyai maklumat terkini dia (Telesca), jadi saya tidak boleh terlalu selesa namun saya tetap mahu kekalkan posisi saya (pingat emas),” katanya.
Selain Bonnie, kem powerlifting turut diwakili Nicodemus Manggoi Moses dalam kategori atas 97kg dan Jong Yee Kee (atas 107kg).
Sementara itu, Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik 2024, Datuk R. Subramaniam tidak mahu insiden terlepas pingat kembali berulang terhadap kem powerlifting negara dalam Paralimpik Paris 2024.
Subramaniam berkata kem powerlifting negara menjadikan tauladan terhadap apa yang berlaku kepada atlet angkat berat negara, Mohd Aniq Kasdan yang terlepas pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris, baru-baru ini.
“Ya, mesti (jadikan tauladan) apa yang sudah berlaku jika kita tidak ambil tahu bermakna kita tidak belajar apa-apa. Kita kena belajar daripada kesilapan orang. Itu cabarannya. Jika tidak kita tidak melakukan sebarang perubahan,” katanya.


































