Mariam Afeeya Abdul Hakim meninggal dunia di lokasi kejadian kerana lemas di dasar anak sungai sebelum ditemukan anggota bomba.
BACHOK: Seorang bayi perempuan berusia 16 bulan maut selepas motosikal roda tiga ditunggang sepupunya berusia 12 tahun terjatuh ke dalam anak sungai sedalam tiga meter semasa bersiar-siar di Kampung Tok Belian, Tawang di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Mariam Afeeya Abdul Hakim meninggal dunia di lokasi kejadian kerana lemas di dasar anak sungai sebelum ditemukan anggota bomba.
Menurut Utusan Malaysia, bapa saudara mangsa, Zamri Mahadi, 36, berkata, sebelum kejadian, Mariam Afeeya bersama enam kanak-kanak lain iaitu dua abang dan sepupu termasuk tiga anaknya berusia 5, 7 dan 11 tahun menaiki motosikal roda tiga itu.
Menurutnya, sepupu mangsa berusia 12 tahun itu merupakan anak kepada pengasuh Mariam Afeeya menunggang motosikal tersebut dan membawa kesemua kanak-kanak terbabit untuk bersiar-siar.
“Motosikal tersebut dipercayai terjatuh ke dalam anak sungai yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari rumah bapa saya atau datuk kepada Mariam Afeeya.
“Kanak-kanak lain yang duduk di dalam tempat duduk tepi motosikal itu diselamatkan oleh penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan itu. Mariam Afeeya bagaimanapun tenggelam di dalam anak sungai itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumah bapanya di Kampung Pauh Sembilan, Tawang di sini, semalam.
Zamri memberitahu, semasa kejadian, dia baru sahaja sampai di rumah selepas pulang dari Jeli atas urusan kerja.
Menurutnya, jenazah Mariam Afeeya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pauh Sembilan di sini kira-kira pukul 7.30 pagi, semalam.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Mohd. Zamizi Muhamad ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.22 malam sebelum sembilan anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, semasa tiba di lokasi, beliau menyelam ke dalam anak sungai sebelum menemukan mangsa dalam keadaan tertiarap di dasar sungai.
“Bayi itu disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.




























