Chang Lih Kang (tiga dari kanan) ketika melancarkan Hab Pendidikan AI Pulau Pinang di Tech Dome, Georgetown, Pulau Pinang.
GEORGE TOWN : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjangkakan bahawa Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan (AI) Negara dapat dilancarkan sebelum hujung tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Chang Lih Kang berkata, pada masa ini, garis panduan tersebut yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Digital telah berada pada peringkat akhir.
“Kita sudah sampai pada peringkat akhir dan hujung tahun ini, ia akan dilancarkan. Ini kerana, tempoh waktu yang ditetapkan adalah pada tahun ini kita perlu lancarkan garis panduan tersebut (tahun ini juga).
“(Buat masa ini) kami sedang mendapatkan tarikh (yang sesuai) dan pelancaran garis panduan itu akan dilakukan sama ada oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri sendiri,” katanya selepas melancarkan Hab Pendidikan Kecergasan Buatan (AI) Pulau Pinang, di Tech Dome, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa MOSTI sedang merangka kod etika AI untuk panduan pembangunan teknologi berkenaan di Malaysia secara bertanggungjawab dan dipercayai, sekali gus menangani isu yang dijangka tercetus.
Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, apabila siap kelak, kod etika berkenaan boleh menjadi panduan untuk jabatan dan agensi kerajaan, industri dan sektor pendidikan serta orang awam sebagai pengguna akhir.
Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, setakat ini, garis panduan berkenaan juga masih belum dibentangkan kepada Kabinet.
“Kita akan bentangkan garis panduan ini kepada Kabinet terlebih dahulu sebelum ia dilancarkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Hab Pendidikan AI Pulau Pinang adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dan pihaknya berharap model pembangunan hub berkenaan dapat dikembangkan ke negeri-negeri lain.
“Penubuhan Hab Pendidikan AI ini juga selaras dengan gesaan Perdana Menteri yang mahu memberi penekanan kepada pembinaan bakat yang dapat memanfaatkan pembangunan teknologi AI.
“Justeru, saya juga berharap agar hab di Pulau Pinang ini akan menjadi pusat kecemerlangan dalam pendidikan Al dan memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat tempatan serta kemajuan teknologi negara,” katanya.































