Hajiji bersama Dr. Joachim dan Menteri-menteri Kabinet lain sebelum sesi taklimat bermula.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah memantau Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan masing-masing bagi memastikan tiada penyalahgunaan program itu oleh penerima.
Beliau berkata, terdapat kes di mana pemohon yang berjaya dalam program itu telah menyewakan rumah mereka kepada orang lain untuk mengaut keuntungan segera.
“Tindakan mereka menunjukkan mereka tidak memerlukan rumah itu sekali gus menafikan orang lain yang layak mendapat kemudahan sedemikian. Justeru, saya mahu semua PBT meneliti semua permohonan dan memantau dengan ketat pelaksanaan program PPR di kawasan mereka.
“Mengikut perjanjian, mereka yang mendapat rumah di bawah program PPR tidak dibenarkan menyewakannya,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) di Wisma Innoprise, di sini, hari ini.
Ketua Menteri juga mendedahkan bahawa Kerajaan Negeri telah memohon 5,000 rumah PPR untuk Sabah tahun depan.
“Saya telah berjumpa dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan (Nga Kor Ming) baru-baru ini dan meminta 5,000 rumah PPR untuk Sabah dimasukkan dalam bajet Kementerian untuk tahun depan,” katanya.
Hajiji juga menggesa semua PBT untuk mewujudkan lebih banyak program kesedaran kebersihan di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, kurangnya kesedaran tentang kebersihan dalam kalangan rakyat antara punca masalah sampah yang tidak berkesudahan.
Mengenai isu koloni setinggan yang dibangkitkan semasa taklimat oleh Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Dr. Jamili Nais, Hajiji berkata, adalah mustahak bagi
unit penguatkuasaan PBT mengambil tindakan segera.
“Sekiranya mereka melihat beberapa binaan didirikan di tanah negeri di kawasan mereka, mereka harus menghentikannya. Jangan tunggu sehingga masalah menjadi penempatan setinggan sepenuhnya yang kemudiannya akan menyebabkan komplikasi lanjut,” katanya.
Dalam taklimatnya, Dr. Jamili berkata, terdapat 281 koloni setinggan di Sabah, yang tertinggi di Ibu Negeri, diikuti Sandakan dan Tawau, sambil menambah tiga daerah iaitu Kota Belud, Tuaran dan Ranau tidak ada masalah koloni setinggan.
Sementara itu, Ketua Menteri turut mengarahkan pegawai PBT supaya lebih proaktif dan kerap melakukan pemeriksaan terhadap kemudahan awam seperti perparitan dan lampu jalan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pelbagai pendekatan telah diambil dan dilaksanakan bagi memastikan kesemua 25 PBT, jabatan dan agensi di bawah kementerian itu bergerak aktif.
Beliau berkata, tiga PBT kini berstatus majlis perbandaran berikutan penaiktarafan status Majlis Daerah Penampang baru-baru ini.
Dr. Joachim berkata, beliau telah memberi penekanan kepada pembasmian kemiskinan di kawasan pentadbiran PBT dan mengambil tindakan pantas untuk menyelesaikan isu tanah koloni setinggan.
“Penyelesaian isu setinggan memerlukan pendekatan bersepadu melibatkan semua agensi berkaitan di negeri ini,” katanya.
Mesyuarat itu dihadiri Menteri-menteri Kabinet, Pembantu-pembantu Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong dan para pegawai kanan.