Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyokong penuh pendirian tegas Kerajaan Perpaduan dalam mempertahankan kedaulatan negara dan menolak sebarang tuntutan ke atas Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjelaskan pendirian Malaysia yang sama dengan pendirian kami selama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji berkata, rakyat Sabah telah memilih untuk bersama-sama membentuk
Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) oleh itu, sebarang tuntutan luar terhadap Sabah tidak akan diiktiraf sama sekali oleh rakyat.
Beliau mengulangi bahawa Sabah sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa telah mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan
Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri juga menyokong penuh tindakan dan kenyataan Wisma Putra bahawa isi kandungan video tular di media sosial yang mempertikaikan kedaulatan Sabah, tidak berasas dan mengelirukan.
“Kami yakin Kementerian Luar akan dapat menyiasat perkara itu secara menyeluruh dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan,” katanya.


































