PETALING JAYA: Polis kini giat mengesan seorang lelaki yang terlibat kejadian membaling batu ke arah kenderaan sehingga pecah cermin di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, Jumaat.
Tindakan itu selepas satu laporan diterima polis berhubung kejadian berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Nuzulan Mohd. Din berkata, laporan dibuat kira-kira pukul 5 petang.
“Satu laporan polis diterima dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Usaha mengesan suspek yang terbabit sedang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,” katanya.
Terdahulu, seorang pemilik akaun Facebook ‘Hui Min Chia’ menerusi hantaran mendakwa cermin bahagian belakang kereta milik teman lelakinya pecah selepas dipercayai dibaling batu oleh seorang lelaki tidak dikenali dari jejantas sebuah stesen monorel di Jalan Imbi.
Dakwa pemilik akaun berkenaan, kejadian berlaku antara pukul 12.30 hingga 1.30 tengah hari semasa dia dan teman lelakinya yang menaiki kereta jenis Honda Insight melalui laluan itu.
Dakwanya, dia dan pasangannya terkejut mendengar dentuman kuat dari bahagian belakang.
“Kami berhenti dan keluar kereta untuk memeriksa. Kami mendapati cermin belakang pecah dan terdapat batu di bahagian tempat duduk penumpang.
“Apabila melihat sekeliling, kami ternampak seorang lelaki sedang membaling batu dari jejantas stesen monorel. Teman lelaki saya segera menghubungi polis memaklumkan kejadian itu,” katanya dalam hantaran berkenaan.
Kata wanita itu, dia bernasib baik kerana ketika kejadian berlaku tiada penumpang lain yang duduk di bahagian penumpang belakang.
Mereka kemudian membuat laporan polis kerana bimbang kelakuan lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental itu boleh menyebabkan pengguna lain menjadi mangsa.