Sebuah daripada kenderaan terbabas setelah berlanggar dengan sebuah kenderaan lain sebelum merempuh penjalan kaki di Taman Rimba Alor Setar, malam kelmarin.
ALOR SETAR: Dua lelaki cedera setelah dirempuh sebuah kereta yang berlanggar dengan sebuah kenderaan lain sebelum terbabas dalam kejadian di kawasan riadah Taman Rimba, di sini kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, kejadian pukul 7.37 malam dipercayai berlaku apabila terjadi perlanggaran antara dua kenderaan berkenaan di satu persimpangan kawasan tersebut.
“Siasatan pihak polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah daripada kenderaan yang membelok ke kanan menuju ke arah Taman Golf dilanggar oleh sebuah kenderaan lain yang datang dari arah Wisma Darul Aman.
“Perlanggaran kedua-dua kenderaan di persimpangan jalan dalam kawasan Taman Rimba itu menyebabkan sebuah daripada kenderaan terlibat hilang kawalan dan terbabas, lalu merempuh dua lelaki yang berada di laluan pejalan kaki.
“Akibat daripada itu, kedua-dua pejalan kaki berusia 24 dan 25 tahun yang berjoging itu mengalami kecederaan luka di beberapa bahagian badan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambah beliau, pemandu sebuah daripada kenderaan terlibat yang berusia 79 tahun pula mengalami sakit pada bahagian dada dan luka lutut kiri, manakala seorang lagi pemandu kenderaan berusia 62 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kesemua mangsa yang cedera kemudiannya dikejarkan ke hospital dan menerima rawatan di Zon Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. Kesemua mangsa difahamkan dalam keadaan stabil,” tambahnya.
Menurut beliau, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kemalangan tersebut berlaku dan meminta kerjasama orang ramai terutama saksi kejadian untuk tampil memberi keterangan di Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik Sarjan Muhammad Nizam Abdul Hamid di talian 047321222 atau 0104542459.