PETALING JAYA: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah atau penderaan dikesan melibatkan kematian seorang kanak-kanak perempuan Filipina pada Khamis lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, polis sebelum itu menerima laporan berkaitan kematian kanak-kanak berumur 11 tahun itu pada pukul 10.01 malam.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan pegawai perubatan yang hadir ke tempat kejadian mengesahkan kematian mangsa pada pukul 7.51 malam.
“Mayat kanak-kanak terbabit kemudian dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk proses bedah siasat.
“Hasil bedah siasat terhadap kanak-kanak itu mendapati tiada unsur jenayah atau penderaan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan.
Kata beliau, rakaman percakapan ibukepada kanak-kanak itu selesai diambil.
“Kanak-kanak berkenaan mengalami penyakit sindrom down sejak lahir dan hanya terlantar di atas katil.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di rumah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” jelasnya.
Pada Khamis, seorang wanita membuat laporan polis berkaitan kematian anak perempuannya di sebuah apartment di sini.


































