PETALING JAYA: Polis mengesahkan dua anggotanya yang ditahan kerana disyaki memeras pasangan warga asing di Jalan Taming Sari, Kajang, Selangor, baru-baru ini sudah ditahan tugas.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, perintah tahan tugas ke atas kedua-dua anggota itu dianggap tindakan paling awal sebaik sahaja kes itu didakwa di mahkamah.
“Mengenai aspek tatatertib, siasatan dimulakan sebaik sahaja laporan dibuat.
“Tindakan sewajarnya akan diambil sebaik sahaja siasatan tatatertib selesai,” katanya di sini, hari ini.
Baru-baru ini tular video memaparkan dua anggota yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah Kajang dipercayai sedang memeras wang daripada seorang lelaki.
Kedua-duanya direman dua hari bermula 29 Julai lalu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.