KOTA KINABALU: Selepas diwartakan pada Jun lalu, Sabah akan mengadakan sambutan Hari Sabah pada hari yang sama dengan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berharap tiada kekeliruan khususnya dalam konteks penganjuran Hari Kebangsaan dan Hari Sabah.
“Bagi kita, Hari Sabah yang akan diraikan pada 31 Ogos ini akan menjadi titik penyatuan rakyat berbilang kaum untuk bersama-sama membangunkan negeri ini.
“Hari Sabah diadakan bagi memperingati berakhirnya pemerintahan British di negeri ini pada 31 Ogos 1963 dan bermulanya perjalanan kita untuk pemerintahan sendiri dan membentuk Malaysia.
“Kita mahu rakyat khususnya generasi muda lebih mengetahui sejarah bukan sahaja mengenai Hari Kebangsaan tetapi juga Hari Sabah,” katanya semasa melancarkan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera peringkat negeri di pekarangan bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), kelmarin.
Menurut beliau, tema Malaysia Madani: Jiwa Merdeka bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini menggambarkan komitmen kerajaan untuk terus membangunkan sebuah masyarakat yang adil dan sejahtera.
“Tema ini juga membawa maksud pentingnya untuk kita memastikan kemakmuran dan kemajuan di samping menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi,” katanya.