Saifuddin Nasution Ismail
KUALA LUMPUR : Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menubuhkan Unit Data Sains sebagai persediaan menghadapi jenayah komersial membabitkan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, ia merupakan cabaran baharu, sekali gus memerlukan penelitian untuk menganalisa segala data dan maklumat bagi menangani sebarang kebarangkalian yang boleh berlaku.
“KDN ini satu kementerian yang sangat kaya dengan data, data ini sumber pendapatan baharu bukannya minyak atau sawit, dengan itu kita wujudkan Unit Data Sains ini untuk menganalisa kesemua data yang ada dalam KDN termasuk di bawah PDRM.
“Bila data ini kita analisis, kita boleh boleh hasilkan predictive model, kita boleh menjangkakan apa yang akan berlaku, dan bila kita tahu kita boleh mitigate untuk kurangkan kesan itu,” katanya di Dewan Negara, kelmarin.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang bertanya mengenai kesediaan kerajaan dalam menghadapi jenayah melibatkan AI.
Saifuddin dalam masa yang sama turut menjelaskan, persediaan menghadapi cabaran itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar lebih kompetensi untuk menangani jenayah komersial yang semakin kompleks.
Ujarnya, selain jenayah komersial sedia ada, jenayah telekomunikasi, kewangan, love scam, jenayah e-dagang, penipuan pelaburan, dan penipuan pinjaman yang dijangka semakin berleluasa pada masa hadapan, PDRM menjangkakan jenayah berbentuk AI Generative, akan mula menjadi trend.
“Kita bersedia untuk perkuatkan kompetensi pasukan polis menerima masalah yang kita nampak semakin mendatang. Contohnya, seorang Ahli Parlimen wanita di Amerika Syarikat ada masalah kesihatan, suaranya hilang dia bagi ucapan dalam Dewan dengan menggunakan teknologi AI, tetapi kalau direka dengan suara lain kemudian disebarkan luas, maka fitnah itu berleluasa, apatah lagi dalam bentuk penipuan,” ujarnya.