Suasana ketika sesi temu bual berlangsung.
KOTA KINABALU: Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2024 akan berlangsung mulai jam 7.30 pagi, Khamis ini.
Ketua Urus Setia majlis berkenaan, Dr. Benedict Oliver Lidadun berkata, pelbagai pengisian akan dilaksanakan sempena majlis tersebut bertujuan untuk menggelorakan semangat nasionalisme khasnya dalam kalangan rakyat Sabah.
“Pelancaran ini akan disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di Pekarangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
“Antara pengisian Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2024 adalah agihan bendera, persembahan pentas, sambutan daripada pelajar sekolah dan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Jabatan Penerangan Negeri Sabah.
“Selepas itu, pada jam 3.00 petang, kita ada rombongan diketuai Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah yang akan mengagihkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah kepada pekedai dan orang awam di sekitar Jalan Gaya.
“Saya jemput semua yang berada di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu, marilah kita hadir untuk sama-sama memeriahkan dan menunjukkan kesatuan kita lebih-lebih lagi tahun ni kita turut merayakan Hari Sabah untuk kali pertama,” katanya ketika ditemui media selepas sesi temubual bersama SABAHfM di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Benedict menyeru orang ramai untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah bagi memeriah dan mengelorakan lagi suasana Hari Kebangsaan dan Hari Sabah.
“Tahun ini adalah tahun yang amat bersejarah kerana kerajaan negeri turut sama mewartakan Hari Sabah.
“Oleh itu, marilah kita kibar kedua-dua bendera ini, Jalur Gemilang dan Bendera Sabah di rumah, di kampung, di bangunan, di kereta dan di mana-mana saja untuk menunjukkan rasa sayang kita kepada negara kita Malaysia dan negeri kita Sabah,” tambahnya.