Keadaan lelaki yang ditemukan mati Sabtu selepas melarikan diri daripada pemeriksaan polis pada Khamis lalu di Gerik.
GERIK: Tindakan seorang lelaki melarikan diri daripada pemeriksaan polis ketika serbuan Op Tapis di kawasan kebun durian berhampiran Titi Batu 6, Bersia di sini Khamis lalu, memakan diri apabila dia ditemukan mati Sabtu.
Mayat lelaki itu ditemukan orang awam dalam keadaan terapung di Sungai Perak dekat Kampung Jagor di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, maklumat penemuan mayat itu dilaporkan kepada pihak polis pada pukul 5.40 petang.
Katanya, mayat lelaki itu berjaya dibawa naik ke tebing pada pukul 7.40 petang dibantu anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Siasatan mendapati lelaki itu adalah individu yang melarikan diri ke arah sungai ketika serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik pada pukul 12.20 tengah hari, Khamis lalu.
“Operasi mengesan lelaki itu diaktifkan sehingga mayatnya dijumpai semalam,” katanya di sini kelmarin.
Menurut beliau, hasil bedah siasat ke atas mayat lelaki itu yang dijalankan di Hospital Gerik mendapati punca kematian tidak dapat dipastikan ekoran keadaan mayat yang telah reput.
“Pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujar beliau.


































