Toh Ee Wei (kiri) berjabat tangan dengan Chen Tang Jie dalam perlawanan peringkat kumpulan badminton beregu campuran Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Porte de la Chapelle, hari ini.
PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuka membuka aksi mereka dengan kemenangan ke atas pasangan Singapura, Terry Hee-Jessica Tan dalam saingan peringkat Kumpulan D, Sukan Olimpik di Paris, Perancis, semalam.
Melakukan penampilan sulung pada temasya terbesar di dunia itu, Tang Jie-Ee Wei yang menghuni ranking No. 9 dunia menundukkan gandingan ke-18 dunia tersebut 23-21, 21-12, menurut Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, disebalik kemenangan yang dilakar Tang Jie-Ee Wei, aksi goyah yang dipamerkan mereka dalam set pertama sedikit membimbangkan.
Kesilapan yang dilakukan pada hujung permainan telah membuka laluan kepada Terry-Jessica mengutip tiga mata mudah untuk mengikat Tang Jie-Ee Wei 20-20.
Namun, mujur pasangan Malaysia itu segera bangkit untuk menebus kesilapan yang dilakukan mereka dengan kemenangan 23-21.
Tang Jie ketika ditemu bual Astro Arena selepas perlawanan mengakui mereka beraksi dengan sedikit gopoh sehingga membuka kepada lawan merapatkan jurang mata.
“Kami bermain dengan sedikit emosi, ini kekurangan yang perlu diperbaiki menjelang perlawanan kedua nanti,” katanya.
Dalam perlawanan kedua, Tang Jie-Ee Wei bakal berdepan ujian yang lebih getir menentang beregu No. 2 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China, esok.
Bertemu pasangan handalan tersebut, Tang Jie-Ee Wei tidak boleh lagi mengulangi kesilapan sama seperti yang mereka lakukan dalam perlawanan pembukaan.
Kawalan di hadapan gelanggang perlu diperbaiki beregu Malaysia itu khususnya Ee Wei agar tidak terlalu mudah menghadiahkan mata kepada lawan dengan pukulan yang sering terkandas di jaring.
Kemenangan ke atas Terry-Jessica meletakkan Tang Jie-Ee Wei di landasan terbaik untuk mara ke peringkat kalah mati dengan pasangan Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jennie Gai yang berada di kedudukan ke-30 dunia menjadi pencabar terakhir mereka dalam aksi Kumpulan D.
































