Shahelmey (kanan) mengiringi Nga ketika mengadakan lawatan ke tapak tamu Putatan.
KOTA KINABALU: Ratusan penduduk serta peniaga di sini teruja selepas Tamu Putatan Baru berkeluasan 2.5 ekar yang menempatkan sebanyak 216 lot jualan siap sepenuhnya dan akan beroperasi dalam masa terdekat ini.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Bin Yahya berkata, projek pembinaan projek Tamu Putatan telah bermula pada tahun 2020 yang melibatkan peruntukan kos pembangunan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebanyak RM9.9 juta.
“Projek Tamu Putatan Baru ini dapat menempatkan sebanyak 216 lot jualan yang terdiri daripada pelbagai jualan antaranya sebanyak 156 lot meja tamu, 16 lot meja ikan, 20 lot meja sayur, lapan lot meja ayam dan 16 lot meja buah.
“Dalam pada itu, bilangan peniaga yang masih aktif hingga kini di Tapak Tamu Sementara pula adalah sebanyak 148 peniaga dan peniaga-peniaga sedia ada ini akan kita tempatkan di Tapak Tamu Baru.
“Saya berharap dengan adanya tapak tamu baru ini, lebih banyak peniaga yang akan dapat berniaga di daerah Putatan ini sekaligus membantu mereka dalam meningkatkan ekonomi mereka dan daerah Putatan amnya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen P.173 Putatan dan Adun N24 Tanjung Keramat berkata demikian sempena Majlis Penyerahan Tamu Putatan Sempena Program Sentuhan Kasih KPKT Tahun 2024 yang diadakan di Tapak Tamu Putatan Baru pada hari Jumaat.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming.
Shahelmey memberikan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Majlis Daerah Putatan dan pihak KPKT di atas penganjuran dan kerjasama program itu, dan juga kepada pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) kerana sentiasa memberi sokongan terhadap program-program yang dianjurkan.
Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak dalam memastikan projek Tamu Putatan berjalan dengan lancar serta siap dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Beliau berbangga atas kejayaan pihak berkenaan dalam usaha menyediakan perkhidmatan dan prasarana awam yang kondusif untuk kesejahteraan rakyat khususnya di Daerah Putatan ini secara langsung mahupun tidak langsung.
“Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan ‘Selamat Datang Ke daerah Putatan dan Negeri Sabah’ kepada Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming, Menteri KPKT berserta rombongan.
“Saya difahamkan, ini merupakan lawatan pertama beliau ke negeri Sabah. Terima kasih kerana memilih daerah Putatan sebagai lokasi jadual kerja Yang Berhormat di negeri Sabah pada kali ini,” katanya.
Tambah beliau, lawatan kerja sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ini tidak lain tidak bukan adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya Majlis Daerah Putatan bersama pihak KPKT serta Jabatan-Jabatan Kerajaan yang lain.
Sebelum hadir ke majlis penyerahan Tapak Tamu Putatan itu, Nga, Shahelmey dan lain-lain juga telah pergi ke PPR Taman Sri Serigai bagi melihat sendiri keadaan di PPR tersebut.
“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada KPKT khususnya kepada YB Menteri kerana telah meluluskan peruntukan kerja-kerja pembaikan semua ‘Lift’ di kedua-kedua PPR yang ada di daerah Putatan iaitu PPR Taman Sri Keramat dan PPR Taman Sri Serigai, pembaikan cerun di PPR Taman Sri Keramat dan kerja-kerja ‘water proofing’ di PPR Taman Sri Serigai.
“Semua kerja-kerja ini adalah dalam pembaikan dan diharapkan ianya dapat memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada penduduk kedua-dua PPR tersebut,” katanya.
Shahelmey menambah, semoga akan lebih banyak lagi kerjasama yang dapat dilakukan di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan demi untuk pembangunan dan kesejahteraan semua pihak.
“Lanjutan dari harapan ini, ingin saya maklumkan kepada YB Menteri bahawa Palimen Putatan memerlukan PPR di kawasan Sembulan, Tg Aru dan daerah Putatan,” jelas beliau.
Turut hadir di majlis itu; Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan ADUN Kundasang, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam; Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah dan ADUN Luyang, Datuk Phoong Jin Zhe; dan Pembantu-Pembantu Menteri.


































