Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak sektor swasta untuk bekerja dengan kerajaan sebagai satu pasukan sambil memainkan peranan aktif bagi membantu mempercepatkan kejayaan negara dalam aspek ekonomi dan pelaburan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang amat berpotensi tinggi kerana mempunyai keupayaan dan sumber untuk digerakkan bagi memastikan ekonomi negara berada pada landasan sebenar.
“Saya benar-benar meminta sokongan berterusan daripada pihak swasta dan kerjasama sebagai satu pasukan untuk menjadikan Malaysia negara berjaya di dunia.
“Saya fikir beberapa siri perbincangan dan dialog antara kementerian dan sektor swasta pastinya membantu dalam memastikan kita berjaya,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) ke-62, malam tadi.
Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada NCCIM sebagai penghargaan terhadap sumbangan organisasi itu dalam menggalakan kemasukan pelaburan asing ke negara ini.
Hadir sama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Presiden NCCIM, Tan Sri Soh Thian Lai.
Pada masa sama, Anwar berkata, semua pihak tidak boleh leka dengan kestabilan politik yang wujud pada ketika ini.
Sebaliknya, beliau menjelaskan, kestabilan itu perlu digunakan untuk perubahan antaranya reformasi institusi termasuk melaksanakan dasar tidak popular yang mana ia penting bagi memastikan kejayaan negara.
“Dasar yang tidak popular itu termasuklah tarif elektrik (penyelarasan tarif) dan rasionalisasi, tetapi ia perlu dilakukan.
“Rasionalisasi itu baik untuk ekonomi namun sukar dari aspek politik tetapi (perlu) bagi menyelamatkan negara dan mengelakkan ketirisan sehingga berbilion (ringgit),” katanya.































