Tangkap layar rakaman daripada kamera papan pemuka memaparkan kejadian samun bersenjata dialami oleh seorang pengarah sebuah syarikat dekat Seksyen 33, di Shah Alam, Selangor, semalam.
SHAH ALAM: Seorang peniaga barangan lusuh berputih mata apabila wang tunai sebanyak RM200,000 baru dikeluarkan dari akaun bank disamun sekumpulan lelaki bersenjata dekat persimpangan berhampiran sebuah sekolah di Seksyen 33, di sini, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata kejadian berlaku ketika lelaki berusia 54 tahun itu sedang berhenti dekat sebuah persimpangan lampu isyarat kira-kira pukul 1.27 petang.
Menurutnya, menerusi rakaman video kamera papan pemuka kereta di tempat kejadian, mangsa didatangi sebuah motosikal yang dinaiki suspek dua lelaki yang berhenti di sebelah kiri keretanya.
Kemudian, diikuti sebuah kereta jenis Perodua Alza bertindak menghalang laluan dengan memintas dibahagian hadapan kereta mangsa.
“Suspek yang membonceng motosikal pergi ke arah pemandu kereta lalu memecahkan cermin sebelah pemandu menggunakan sebilah kapak dan mencabut kunci kereta bagi menghalang mangsa melarikan diri.
“Seorang lagi rakan suspek yang menaiki Perodua Alza membuka pintu penumpang hadapan kereta mangsa lalu membawa lari satu beg yang mengandungi wang tunai,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Oleh demikian, mangsa yang juga merupakan pengarah syarikat terbabit kehilangan wang tunai yang hendak digunakan bagi urusan perniagaannya, namun tidak mengalami kecederaan.
Tambah Mohd. Iqbal, semakan nombor pendaftaran kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki suspek adalah palsu kerana didaftarkan atas sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Justeru, beliau memaklumkan polis sedang mengesan kesemua suspek terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nor Idayu Abdul Aziz ditalian 019-9459062.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membawa wang tunai dalam jumlah yang besar kerana boleh menyebabkan perkara tidak diingini berlaku,” ujarnya.